suria

Anak Anggota Polis Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Utara-Selatan

SEREMBAN: Seorang anak anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler di KM 259.2 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar plaza tol Rasah di sini, Selasa.

Mohd Syadidi Zikri Hairi, 26, dari Muar, Johor, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'far Seremban untuk bedah siasat.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Mohd Syadidi Zikri dalam perjalanan ke arah utara.

Beliau berkata siasatan awal mendapati treler terbabit mengalami kerosakkan pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan diletakkan di lorong kecemasan dengan turut meletakkan beberapa kon di situ.

"Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa melekat di bekalang treler terbabit," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Insp Taufiq Abd Samad di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain