suria

Akta Hasutan 1948 Masih Relevan Untuk Kekalkan Keharmonian Kaum

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri tidak berhasrat memansuhkan Akta Hasutan 1948 kerana ia masih relevan dengan suasana negara yang berlatarbelakang kehidupan masyarakat berbilang bangsa, agama dan adat resam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata akta itu perlu bagi memastikan keselamatan negara serta keharmonian dan kesejahteraan rakyat dapat terus dikekalkan.

Beliau berkata sehingga kini polis menerima 10 laporan melibatkan isu perkauman dan kerajaan sedang mengambil tindakan mengikut akta itu.

"Walaupun hanya melibatkan 10 kes, akta itu masih relevan kerana dapat membendung isu perkauman daripada menjadi lebih serius," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang ingin tahu sama ada terdapat rancangan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan Akta Hubungan Kaum.

Hishammuddin berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama untuk mengemukakan maklumat kepada kementerian berkaitan jika terdapat rancangan untuk menggubal Akta Perhubungan Kaum. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain