suria

UEM, KWSP Selesai Pengambilalihan PLUS Dalam Tempoh 8-12 Bulan

KUALA LUMPUR: UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap memuktamadkan cadangan pengambilalihan PLUS Expressways Bhd dalam tempoh lapan hingga 12 bulan selepas penerimaan oleh lembaga pengarah PLUS.

Cadangan pengambilalihan itu dibentangkan pada lembaga pengarah PLUS untuk pertimbangan mereka minggu lepas, demikian menurut UEM.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris berkata penyelesaian pengambilalihan itu melibatkan kelulusan daripada pemegang saham PLUS, kelulusan daripada pemberi kredit PLUS dan anak-anak syarikatnya, kelulusan kawal aturan dan Mahkamah Tinggi.

"Ia juga tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan terhadap perjanjian konsesi baharu. Tawaran itu tertakluk kepada kejayaan menstruktur semula perjanjian konsesi ke atas terma yang dipersetujui oleh semua pihak," katanya pada taklimat media di sini, Isnin.

Izzaddin berkata jika tol tidak dinaikan selama lima tahun akan datang, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2011, pampasan dari kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Sehingga 30 Jun tahun ini, pampasan kerajaan dalam lembaran imbangan PLUS berjumlah RM2.5 bilion, katanya.

Mengenai operasi PLUS di luar negara, Izzaddin berkata ia hanya memberi sumbangan kecil dan pertumbuhan utama kumpulan itu adalah menerusi operasi Malaysia.

"PLUS yang merupakan operator lebuh raya kelima terbesar di dunia, ialah aset utama negara yang kami mahu lindungi. Pengguna lebuh raya diberi jaminan bahawa PLUS akan menjaga mutu perkhidmatan dan penyelenggaraan dengan keselamatan ke atas pengguna lebuh raya menjadi keutamaan kami," katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Shahril Ridza Ridzuan, berkata tawaran itu dibuat oleh pemegang saham PLUS yang sedia ada.

UEM dan syarikat induknya Khazanah Nasional Bhd secara kolektif menguasai 55.25 peratus kepentingan dalam PLUS, dengan KWSP mempunyai 12.03 peratus kepentingan dan bakinya oleh pemegang saham minoriti.

Pada 15 Oktober, UEM Group dan KWSP membuat tawaran bersama untuk mengambl alih kesemua perniagaan PLUS, termasuk aset dan liabiliti operator lebuh raya bertol itu.

Pengambilalihan menerusi jentera pelaburan bersama sebanyak 51 peratus, milik UEM dengan baki 49 peratus dipegang oleh KWSP.

Shahril berkata KWSP berpendapat pengambilalihan bersama PLUS merupakan peluang untuk memperoleh aset matang yang menjana aset dengan profil pulangan risiko yang menarik.

"Kami melihat PLUS sebagai pelaburan jangka panjang yang baik dengan pulangan kukuh dan menarik. Pencarum KWSP secara langsung mendapat manfaat daripada keuntungan yang dijana oleh lebih raya itu," katanya.

"Jika berjaya ia akan menyediakan pulangan stabil untuk 12 juta simpanan persaraan pencarum dan kami yakin menerusi pemilikan bersama oleh KWSP dan UEM, PLUS akan dapat meningkatkan lagi prestasi kewangannya," katanya.

Shahril berkata cadangan pengambilalihan itu akan membabitkan pembayaran tunai sebanyak RM11 bilion kepada pemegang saham minoriti dan RM12 bilion jumlah hutang kepada Khazanah, UEM dan KWSP.

Kos keseluruhan pengambilalihan itu sebanyak RM23 bilion, yang diterjemahkan kepada RM4.60 sesaham yang diselesaikan secara tunai.

Sambil menyifatkan harga tawaran RM4.60 sebagai "harga baik dan adil," Izzaddin dan Shahril berkata tawaran itu melepasi paras tertinggi oleh PLUS sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2002.

Saham PLUS ditutup RM4.46 pada kemuncaknya pada 13 Ok, hari terakhir dagangan sebelum digantung, dan 14.7 peratus dan 2.17 peratus premium melepasi harga pasaran purata wajaran tiga dan enam bulan masing-masing pada RM4.01 dan RM3.78.

Apabila selesai, PLUS akan dinyah senarai dan perniagaannya akan dipindahkan kepada jentera tujuan khas yang akan menyerap semua risiko konsesi. - BERNAMA

Artikel Lain