suria

Tujuh Duta Asing Persembah Watikah Pelantikan Kepada Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Tujuh duta asing pada Isnin mempersembahkan watikah pelantikan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara di sini.

Mereka ialah Duta Besar Korea Selatan Lee Yong-Joon, Duta Besar Mesir Mohamed Saad Ibrahim Ebeid, Duta Besar Korea Utara Jang Yong-Chol, Duta Besar Ireland Declan Kelly, Duta Besar Amerika Paul W.Jones, Duta Besar Ukraine Ihor Humennyi dan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom Simon Mark Featherstone.

Lee Yong-Joon, 54, yang menyertai dunia kerjaya pada 1979, pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Luar dan Perdagangan (MOFAT) dan Penasihat Khas kepada Menteri Luar Negara dan Perdagangan selama dua tahun mulai Mac 2008.

Mohamed Saad, 56, lulusan dalam bidang sains politik dari Universiti Kaherah, memulakan kerjaya dalam bidang diplomatik pada 2005 dan pernah berkhidmat sebagai Duta Besar negaranya ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) selama empat tahun.

Selain bahasa Arab dan Inggeris, beliau juga boleh berbahasa Perancis.

Jang Yong-Chol, 47, pula adalah lulusan dalam bidang ekonomi dari Kim-il Sung University dan pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Republik Demokratik Rakyat Korea selama empat tahun mulai 1980.

Beliau menyertai perkhidmatan diplomatik pada 2007 sebagai Duta Besar negaranya ke Nepal selama tiga tahun sebelum ditugaskan ke Malaysia.

Declan Kelly, 60, pula berpengalaman luas dalam dunia diplomatik dan pernah ditugaskan sebagai Duta Besar Ireland ke Kanada, Jamaica dan Bahamas dan Duta Besar ke Australia, New Zealand dan Fiji, sebelum ke Malaysia.

Paul W.Jones, 50, yang menyertai perkhidmatan luar negara pada 1987, pernah memegang jawatan timbalan ketua perwakilan di Kedutaan Amerika di Manila, Filipina dan Timbalan Setiausaha Negara bagi Afghanistan dan Pakistan.

Ihor Humennyi, 54, menyertai perkhidmatan luar negara pada 1990 dan pernah menyandang jawatan Setiausaha Pertama Hubungan Ekonomi Antarabangsa, Menteri Hal Ehwal Luar dan beberapa jawatan kanan lain di kementerian itu sebelum dilantik sebagai Duta Besar Mutlak dan Istimewa ke Thailand.

Simon Mark Featherstone, 52, pula pernah dilantik sebagai Duta Besar Britain ke Switzerland dan Liechtenstein dan Pengarah Pejabat Luar Komanwel Ekspo Shanghai, China sebelum ditugaskan ke negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain