suria

Ruang Niaga PWTC Sibuk Dengan Persiapan Akhir Perhimpunan Agung Umno 2010

KUALA LUMPUR: Ruang niaga awam atau gerai jualan, satu kemestian pada setiap kali berlangsung Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sekali lagi dijangka menjadi tumpuan orang ramai apabila ia dibuka mulai, Selasa.

Bagi memeriahkan lagi perhimpunan parti Melayu terbesar kali ini, pihak pengurusan PWTC mengeluarkan lesen bagi 320 buah tapak jualan di ruang legar di aras dua dan aras tiga, berbanding 220 tapak ruang niaga sebelum ini yang terhad di aras dua. Tinjauan Bernama di PWTC pada Isnin mendapati para peniaga mulai sibuk di saat-saat akhir membawa masuk dan menyusun produk jualan, memasang pemidang selain berbincang sesama sendiri mengenai strategi untuk melariskan jualan.

Seperti dahulu, majoriti gerai kebanyakannya masih memberi tumpuan menjual produk yang diminati wanita khususnya tekstil, batik, pakaian, eksesori hiasan dan produk kesihatan.

Seorang peniaga dari Taiping, Ahmad Zaidi ketika ditemui di sini berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk memulakan perniagaan terutamanya kerana ini pertama kali beliau diberi peluang berniaga di kawasan perhimpunan agung Umno.

"Saya dapat tahu mengenai peluang perniagaan di perhimpunan Umno ini dari kawan-kawan dan Internet. Banyak kali juga saya hantar permohonan akhirnya terpilih juga," katanya yang menjual batik, sampin, kerongsang, makanan ringan kerepek dan bunga di aras 3, PWTC.

"Disebabkan terlalu teruja, saya sampai di sini awal-awal pagi ini dan terus buat persiapan. Esok saya akan mulakan perniagaan seawal pukul 8 pagi, jemputlah datang," tambahnya.

Seorang lagi peniaga, Salmiah Mohd Norin pula berharap jualan barang-barang seni perhiasan kaca berdasarkan corak terkini yang ditampilkannya, dapat menarik minat pengunjung, dan menurutnya kebanyakan barangan kaca dengan pelbagai warna itu dijual pada harga berpatutan, iaitu antara RM20 dan RM580.

"Selain jualan barang-barang seni ini, saya juga akan mengadakan sesi demonstrasi kepada pengunjung untuk melihat bagaimana barangan kaca ini dibuat," katanya.

Buat pertama kali, gerai-gerai jualan yang sebelum ini ditempatkan di ruang legar tingkat bawah PWTC dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hanya beberapa gerai korporat akan diadakan di ruang tersebut manakala sebahagian besar di aras tiga, bertujuan memudahkan pergerakan keluar masuk anggota perwakilan dan pengunjung semasa berlangsung perhimpunan Umno.

Dijangka kira-kira 50,000 orang yang terdiri daripada perwakilan dan pengunjung bakal mengikuti perhimpunan agung selama lima hari itu mulai Selasa.

Perhimpunan Agung Umno 2010 dimulakan dengan perasmian perhimpunan agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno, Selasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden parti dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2010 pada hari Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain