suria

Remaja Maut Dalam Kemalangan

SEREMBAN: Seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 252.7, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran plaza tol Senawang dekat sini, pagi Isnin.

Jurucakap polis berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 5.45 pagi itu, ketika Foo Hui Theng, 19, yang menumpang kereta tersebut bersama empat lagi termasuk pemandu kereta Liu Ah Gan, 55, dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dipercayai rosak dan bergerak perlahan ketika berada di lorong ketiga lebuh raya dan ketika hendak memberhentikan kereta di lorong kecemasan kereta yang mereka naiki tiba-tiba dirempuh oleh sebuah treler dari arah belakang.

Ekoran rempuhan itu, belakang kereta terbabit remuk dan mangsa yang berada di tempat duduk belakang tersepit di tempat duduk.

Mangsa yang cedera teruk di kepala dan badan mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban di sini untuk bedah siasat sementara Liu yang cedera parah di kepala dan kaki dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Isteri Liu, Tan Siew Neo, 49, serta anak lelaki mereka dan seorang lagi penumpang remaja perempuan hanya cedera ringan. - BERNAMA

Artikel Lain