suria

Rampasan Terbesar Heroin Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu pada Isnin mengumumkan kejayaan membuat rampasan dadah jenis heroin terbesar sejak lima tahun lalu dengan tertangkapnya tiga suspek termasuk sepasang kekasih.

Ketua Polis Terengganu Datuk Shukri Dahlan berkata selain dadah seberat 1,039 gram, anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri turut merampas sepucuk pistol serta 83 butir peluru hidup daripada tiga suspek berkenaan yang berasal dari Kedah.

"Mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Padang Midin, di sini pada 11.30 malam Jumaat lepas," katanya pada satu sidang akhbar di sini.

Shukri berkata dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM420,000.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati dua suspek lelaki itu pernah ditahan di Skudai, Johor, kerana kesalahan memiliki 10 kilogram ganja dengan seorang daripadanya pernah dikenakan perintah buang daerah.

Beliau berkata dalam serbuan yang dibuat hasil maklumat awam itu, polis menemui tujuh botol berisi dadah jenis heroin yang disembunyikan pada badan seorang daripada suspek yang berada di hadapan rumah.

Dalam serbuan dalam rumah itu, di mana dua lagi suspek berada, polis menemui tiga botol dadah jenis itu dan 46 biji pil khayal, 51 butir peluru hidup dan sehelai vest polis.

Siasatan terhadap suspek wanita itu, yang bekerja sebagai penjaga taman asuhan kanak-kanak, pula membawa kepada penemuan 21 butir peluru hidup dan dua bilah parang yang disembunyikan di pusat asuhan berkenaan.

"Dalam sebuah kereta milik seorang daripada suspek itu polis menemui 287 botol lagi heroin, 32 gram ganja, sepucuk pistol dan lapan butir peluru," katanya.

Turut ditemui dalam kereta itu sepucuk pistol tiruan, rambut palsu dan tali pinggang berlogo polis yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai anggota polis, kata Shukri.

Semua suspek direman selama seminggu bermula Sabtu lalu. - BERNAMA

Artikel Lain