suria

Rakyat Malaysia Ditahan Cuba Seludup Warga China Ke Singapura

SINGAPURA: Cubaan seorang rakyat Malaysia untuk menyeludup tiga warga China ke Singapura menerusi bot pada Ahad berjaya dipatahkan pihak berkuasa republik itu.

Pemandu bot berusia 28 tahun itu dan penumpang botnya seorang lelaki berusia 37 tahun dan dua wanita, masing-masing berusia 28 dan 34 tahun ditahan selepas bot yang dinaiki mereka tenggelam ketika dikejar bot pihak keselamatan Singapura.

Polis republik itu pada Isnin memberitahu pemberita di sini, pegawai dari pasukan Polis Pengawal Pantai serta Imigresen bertindak selepas mendapat maklumat mengenai sebuah bot laju sedang menuju ke perairan Pulau Ubin pada pukul 9.30 malam tanpa memasang lampu.

Bot itu kemudian dipintas oleh Polis Pengawal Pantai ketika memasuki perairan Singapura, dan meskipun diberi amaran berulang kali beserta tembakan suar ke udara, pemandu bot enggan berhenti, kata polis.

Sebaliknya kata polis, pemandu bot itu membuat beberapa gerakan berbahaya untuk lolos daripada pihak berkuasa yang mengejar.

Bagaimanapun ketika membuat satu pusingan 'U' pada kelajuan tinggi, pemandu bot itu hilang kawalan menyebabkan bot laju tersebut terbalik dan tenggelam.

Empat orang yang berada di atas bot itu diselamatkan oleh pihak berkuasa Singapura dan ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain