suria

Polis Buka Bilik Gerakan Sempena Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR: Polis sudah menyediakan sebilik gerakan yang beroperasi di Dewan Melaka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sepanjang berlangsung Perhimpunan Agung Umno 2010, yang bermula Selasa sehingga Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata penyediaan bilik gerakan itu bertujuan memberi bantuan kepada orang ramai yang berkunjung ke PWTC sepanjang tempoh perhimpunan.

"Bantuan bukan hanya terhad kepada mereka yang jadi mangsa jenayah, tetapi turut memberikan pelbagai bantuan serta kemudahan contohnya kepada mereka yang sakit," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Beliau berkata sepasukan anggota polis termasuk seorang pegawai penyiasat ditempatkan di bilik gerakan itu, yang akan bertugas secara bergilir-gilir setiap hari dari pagi sehingga tamat perhimpunan.

"Saya ingin ingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutamanya terhadap penyeluk saku...jangan tinggalkan barang berharga seperti beg walaupun seketika, terutama di surau," katanya.

Zulkarnain seterusnya memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya meletak kenderaan sesuka hati sehingga boleh mengganggu lalu lintas sekitar PWTC.

Katanya 1,000 pelawat dijangka berkunjung ke perhimpunan agung itu yang turut menyediakan gerai-gerai jualan sepanjang perhimpunan.

Artikel Lain