suria

PLUS Dapat Tawaran Baik Daripada KWSP-UEM

KUALA LUMPUR: Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bersama-sama UEM Group Bhd, memiliki PLUS Expressways Bhd, dilihat sebagai pelaburan yang hebat dan jalan keluar terbaik bagi pemegang saham minoriti syarikat itu.

Penganalisis dan ahli ekonomi menyokong usaha bersama itu yang akan dilakukan melalui perantara tujuan khas untuk membeli PLUS pada RM4.60 sesaham dan terikat dengan pengumuman dalam Bajet 2011 yang kadar tol tidak akan dinaikkan selama lima tahun bagi lebuh raya di bawah syaikat pemegang konsesi itu.

Harga tawaran berkenaan mewakili premium 21.4 peratus daripada harga purata wajaran dagangan enam bulan saham PLUS.

Penganalisis AmResearch, Hoy Ken Mark berkata PLUS menjadi saham yang memberi dividen yang baik sejak bertahun-tahun, dengan hasil tahunan sebanyak empat hingga lima peratus dan akan menjadi antara penyumbang hasil yang ketara kepada KWSP.

Jentera pelaburan bersama itu akan menyaksikan KWSP mempunyai 49 peratus pegangan dalam PLUS manakala UEM Group menguasai bakinya.

"Dengan jumlah trafik yang kukuh, PLUS dijangka menjana kira-kira enam peratus pulangan setahun dan angka ini mencukupi untuk KWSP. "Tetapi pakatan KWSP-UEM itu perlu pertamanya menyusun semula hutang pengendali lebuh raya bertol itu bagi menyesuaikannya dengan aliran tunai," kata Datuk Salleh Majid, bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) kepada Bernama.

Walaupun telah terdapat dua tawaran untuk mengambilalih PLUS, setiap satu berjanji untuk menurunkan kadar tol, pemilikan bersama oleh KWSP dan UEM Group bermakna, kedua-dua pihak akan mendapat banyak faedah daripada urusniaga berkenaan.

"Cadangan pegangan 49 peratus oleh KWSP dalam PLUS akan tentunya menjana pulangan kepada 12 juta pencarumnya.

"Bagaimanapun saya rasa faedah pengambilalihan ini perlu dilanjutkan kepada pengguna PLUS dalam bentuk bayaran tol yang lebih rendah," kata Datuk Seri Shahrir Abdul Samad, bekas menteri kabinet dan anggota parlimen Johor Baru.

Semasa yang lain berpendapat KWSP mungkin menyaksikan pulangan yang lebih tinggi sekiranya melabur di luar negara, Tan Sri Ramon Navaratnam, Pengerusi Pusat Untuk Kajian Dasar Awam ASLI, melihatnya secara berbeza.

"Memandangkan KWSP sentiasa meneroka secara agresif pasaran dalam negara, cadangan pemerolehan bersama PLUS ini merupakan pelaburan yang hebat memandangkan ia merupakan aset yang matang dan menjana tunai dengan profil risiko pulangan yang menarik.

"Ini berpadanan dengan portfolio pelaburan KWSP," kata Navaratnam.

Sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengoptimumkan pulangan dan menambah baik profil risiko pulangannya, KWSP telah mula mempelbagaikan portfolio pelaburannya di samping meninjau peluang di seberang laut.

Ia memulakan inisiatif luar negara dengan usaha teroka satu bilion pound sterling (RM4.88 bil) dalam sektor hartanah di United Kingdom pada Ogos.

Sehingga 31 Mac, jumlah saiz dana KWSP dianggarkan sebanyak RM402 bilion, dengan kebanyakannya dilaburkan dalam bon dan ekuiti dalam negara.

Pada masa ini, UEM Group, bersama-sama syarikat induknya, Khazanah Nasional Bhd, menguasai 55.4 peratus pegangan dalam PLUS. Sebaliknya KWSP, mempunyai 12.3 peratus bahagian dalam pengendali tol terbesar di Asia Tenggara.

Artikel Lain