suria

Perkhidmatan Bertaraf Lima Bintang Sempena Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR: Putrade Property Management Sdn Bhd menjanjikan perkhidmatan bertaraf lima bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2010 yang akan bermula Selasa sehingga Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Maxson Abdullah Jaafar berkata setiap kakitangan Putrade Property Management, yang menguruskan PWTC, akan berpegang kepada tiga konsep utama iaitu "betul pertama kali dan setiap kali", "sentiasa mengilap sebelum pudar" dan "buat sesuatu yang biasa dengan cara luar biasa" sebagai pedoman untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para perwakilan dan tetamu ke perhimpunan itu.

Beliau berkata persiapan untuk perhimpunan itu sudah bermula sejak April lepas, dengan melibatkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dalam pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

"Berdasarkan pada perhimpunan lepas, kami menerima banyak teguran mengenai kebersihan tandas dan makanan tidak sedap. Oleh itu selaras dengan janji kami untuk memberi perkhidmatan bertaraf lima bintang, kali ini kami memastikan makanan yang dimasak adalah dari bahan mentah yang segar dan berkualiti," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Katanya antara pembaharuan yang dilakukan kali ini adalah dengan pengwujudan satu unit khas dipanggil "Special Service Unit" (SSU), yang membabitkan 12 petugas terlatih yang khusus memberi perkhidmatan istimewa kepada tetamu kenamaan seperti Perdana Menteri dan juga menteri-menteri kabinet.

"Kami wujudkan unit ini pada April lepas dan mereka bertanggungjawab dalam menyediakan makanan-makanan yang menjadi kesukaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri kabinet lain," katanya.

Selain itu, pihak PWTC buat pertama kalinya mengambil 30 orang anggota Polis Bantuan sejak Ogos lepas, khusus bagi meningkatkan kawalan keselamatan sepanjang berlangsung perhimpunan itu.

"Selain dari 320 orang pekerja tetap, kami juga mengambil 400 orang pekerja sementara untuk perhimpunan agung ini yang 80 daripadanya ditempatkan di dapur dan selebihnya di unit lain," katanya.

Maxson Abdullah berkata Surau Ar Rahman yang terletak di Aras 3 juga ditambah dengan pelbagai ciri-ciri pembaharuan, seperti hamparan permaidani baru serta ruang mengambil air sembahyang yang diperbaiki.

Perhimpunan agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno, manakala Najib yang juga Presiden Umno akan merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2010 pada hari Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain