suria

Pengecualian Duti Import, Eksais Kereta Hibrid Galak Teknologi Hijau

KUALA LUMPUR: Pengecualian duti import dan duti eksais untuk pemilikan kereta hibrid serta pelbagai insentif lain yang diberikan menerusi Bajet 2011 akan menggalakkan penggunaan teknologi hijau di negara ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata ia juga akan menggalakkan lebih ramai pengguna memiliki kereta hibrid.

"Ini sekaligus akan mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida. Langkah-langkah seperti ini memang saya terima baik dan gembira apabila Perdana Menteri mengumumkan bajet yang begitu prihatin tentang teknologi hijau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Energy Efficiency Management and Audit" sempena Persidangan dan Pameran Greentech dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM 2010) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Ahad. Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengecualian duti import sepenuhnya dan duti eksais 50 peratus kepada pemegang francais kereta hibrid sehingga 31 Dis 2010.

Bagi terus menggalakkan pemilikan kereta hibrid pula, pengecualian duti import dan duti eksais dilanjutkan sehingga 31 Dis 2011.

Dalam pada itu Chin berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai kaedah untuk menggalakkan pihak industri menjimatkan bekalan tenaga elektrik sama ada melalui mesin atau sistem yang mereka gunakan.

"Jika hari ini pihak industri sukarela menggunakan penjimatan kegunaan tenaga, maka ini kaedah yang akan menguntungkan industri dan juga negara," katanya.

Mengenai buku yang diterbitkan oleh Bell Group of Companies itu yang terlibat dalam projek tenaga diperbaharui, Chin berkata ia bertujuan mengubah persepsi salah bahawa pengurusan tenaga hijau adalah sukar dan menelan kos.-BERNAMA

Artikel Lain