suria

Pengarah Didakwa Lagi

SHAH ALAM:Seorang pengarah syarikat yang berhadapan dengan 412 pertuduhan menggubah wang haram, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dan Klang, dekat sini, bagi 61 tuduhan yang melibatkan jumlah RM43. 7 juta.

Lim Long Yew, 39, pengarah Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, untuk dibacakan 32 tuduhan yang berjumlah RM5.2 juta dengan tertuduh memberikan pengakuan tidak bersalah.

Pengakuan itu direkodkan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Lim yang beralamat di Kuala Selangor didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 15 Disember 2008 dan 19 Oktober 2009 di Public Bank Berhad, nombor 3, 4 dan 5 Jalan CKC 1, Batang Kali, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bernombor 4304108201 ke akaun 3148576923. Kedua-dua akaun tersebut merupakan akaun milik tertuduh.

Lim merayu supaya jaminan RM300,000 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dapat dikurangkan atas alasan akaun banknya telah dibekukan. “Sebagai seorang ahli perniagaan, transaksi tersebut merupakan sesuatu yang normal...,” kata Lim sebelum dipotong oleh Wan Mohd Norisham memandangkan perkara itu sepatutnya dibangkitkan pada perbicaraan.

Wan Mohd Norisham mengekalkan jumlah tersebut dengan syarat penjamin adalahh individu yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan tertuduh.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Klang, Lim sekali lagi mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan yang melibatkan jumlah RM38.5 juta yang didakwa dilakukan antara pukul 17 Jun 2008 dan 19 Oktober 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan menerusi cara dan di tempat yang sama.

Hakim Slamat Yahya menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM500,000 berbanding RM800,000 yang ditawarkan oleh Mohd Farez. Semua kes terhadap Lim akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (KL) pada 17 Disember depan selepas kedua-dua hakim tersebut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes dibicarakan bersama.

Pada 13 Oktober lalu, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah KL atas 412 tuduhan serupa yang berjumlah RM102 juta yang didakwa dilakukan antara 19 Jun 2008 dan 19 Oktober 2009.

Dia kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, dekat sini kerana gagal menjelaskan jaminan sebanyak RM1.2 juta yang ditetapkan oleh Hakim Sesyen KL, Jagjit Singh pada pendakwaan kali pertama.

Artikel Lain