suria

Pasangan Kekasih Thai Dipenjara Tinggal Melebihi Tempoh

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Thailand dipenjara empat bulan dan kekasihnya dikenakan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mereka mengaku bersalah tinggal di negara ini melebihi tempoh sah bulan lepas.

Wanita itu, yang hanya dikenali Suwaibah, 34, dari Yala, yang dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkap pada 25 September lepas, didakwa tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah iaitu bermula 4 Julai 2010 hingga 25 September 2010.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai tom yam di Jalan Raja Alang di sini pada 3.30 pagi 25 Sept lepas manakala teman lelakinya Baraheng, 28, dari Songkhla, yang dijatuhi hukuman penjara lima bulan dari tarikh dia tangkap juga pada 25 Sept lepas, didakwa melakukan kesalahan serupa melebihi tempioh sah bermula 11 April 2010 hingga 25 September 2010.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Hotel The Regency, Jalan Raja Alang, di sini pada 3 pagi, 25 September lepas. Di mahkamah yang sama, Suwaibah mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dengan sengaja mencederakan isteri Baraheng, Sarina Yakob, 28, menggunakan pisau dan tangan di rumah No 109, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini pada 5 petang 24 September lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamed Hanifa manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain