Nik Aziz Umum Calon Galas Dalam Masa Terdekat - Semasa | mStar

Nik Aziz Umum Calon Galas Dalam Masa Terdekat

KUALA TERENGGANU: Calon yang akan mewakili PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas telah diputuskan dan akan diumum Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata bakal calon PAS dipersetujui sebulat suara Dewan Harian PAS yang bermesyuarat mewakili Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.

Mustafa yang enggan mendedahkan identiti calon berkenaan bagaimanapun berkata beliau terdiri dari anak tempatan, tidak pernah menjadi wakil rakyat dan merupakan pemimpin parti itu di Gua Musang.

"Esok nama itu akan diserahkan kepada Mursyidul Am (Nik Aziz) yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan untuk diumumkan," katanya dalam satu sidang media di sini, Isnin.

Menurut beliau nama berkenaan dipilih daripada enam nama yang disenarai pendek oleh PAS Kelantan termasuk seorang pemimpin Orang Asli di situ.

Katanya tarikh sebenar pengumuman bagaimanapun belum dimuktamadkan lagi namun difahamkan, parti itu akan memperkenalkan calonnya 20 Oktober ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Ketika ditanya peluang PAS berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata parti itu masih berada di belakang Barisan Nasional (BN) kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat Umno dan beberapa faktor lain.

Mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Mustafa berkata tidak dinafikan tokoh veteran itu mempunyai pengaruh tersendiri di Gua Musang.

"Bagaimanapun itu tidak semestinya diterjemah sebagai undi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata langkah SPR mengadakan serentak pilihan raya kecil DUN Galas dan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah, akan memberi kelebihan kepada BN terutama dari segi logistik berbanding pembangkang.

"Bila diadakan dua serentak, bagi kita susah untuk kita beri tumpuan, tapi ini tak halang untuk kita berusaha mencapai kemenangan," katanya.

Mengulas politik Terengganu terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau berkata PAS dan BN negeri itu dilihat mempunyai kekuatan seimbang dan masing-masing terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi atas pagar untuk membentuk kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Ngah Senik Ketua Pentadbir Parlimen

Artikel Berikut

Pakej Pelancongan Ramadan Diperhebat

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain