suria

Konsep 1Malaysia Perlu Dijelaskan Kepada Rakyat Malaysia Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Konsep 1Malaysia perlu dijelaskan kepada rakyat Malaysia di luar negara agar ia tidak disalah tafsirkan dan ia perlu dilakukan apabila pemimpin Umno berkunjung ke sana, kata Pengerusi Kelab Umno Moscow Muhammad Akmal Saleh.

Beliau berkata kebanyakan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan termasuk konsep 1Malaysia diperolehi rakyat Malaysia melalui internet, di mana kesahihannya boleh dipersoalkan.

"Sebenarnya banyak di kalangan ahli kami sendiri dan rakyat Malaysia di luar negara masih lagi tak faham dengan konsep 1Malaysia, jadi harapan saya adalah kerajaan atau Umno dapat menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di Malaysia," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Forum Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Forum Antarabanga itu, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno, diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno.

Muhammad Akmal yang berasal dari Melaka berkata pemimpin Umno juga perlu "menjelajah" menemui rakyat Malaysia di semua negara dan tidak hanya melawat negara-negara tertentu dan meminggirkan negara-negara lain.

Penuntut bidang perubatan di Russian State Medical University itu berkata ia akan mencerminkan tanda sokongan pihak pengurusan Umno terhadap ahli-ahli kelab, di mana ia secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia di luar untuk menyertai kelab tersebut.

Pengerusi Kelab Umno Luar Negara California Muhammad Danial Zuraidi pula berkata walaupun penerangan mengenai konsep 1Malaysia ada diberikan kepada pemimpin-pemimpin kelab, namun ia juga perlu disampaikan kepada rakyat Malaysia yang lain di luar negara.

"1Malaysia merupakan idea yang baru dan saya rasa ahli-ahli politik ini lebih arif untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Umno luar negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.

Beliau yang menuntut dalam bidang Perniagaan dan Sejarah di California State University Los Angeles berkata peranan Kelab Umno Luar Negara juga perlu dititik beratkan di mana ia boleh membantu mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara untuk pulang berkhidmat di Malaysia.

Setiausaha Badan Perhubungan Kelab Umno Negara Indonesia Rizal Abd Rahman pula berkata pemimpin-pemimpin Umno sememangnya perlu 'turun padang' ke luar negara untuk memberikan input terkini mengenai parti dan negara selain fokus perlu diberikan terhadap usaha memperkukuhkan parti di dalam negara.

Beliau yang menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Ukrida, Jakarta juga berkata Umno memerlukan seorang ikon dari generasi muda untuk menarik lebih ramai golongan muda rakyat Malaysia termasuk di luar negara untuk menyertai parti itu. Katanya ikon tersebut mestilah mempunyai ciri-ciri kecemerlangan yang menyeluruh dan karakter yang kuat seperti berkata benar dan tidak mengampu.

"Pada masa ini, secara amnya mungkin ada ikon yang baik dalam barisan kepimpinan muda Umno tapi masih belum cukup ke depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain