suria

Guna Media Yang Liberal Untuk Fahami Pemikiran Rakyat - Dr M

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menggunakan media yang liberal bagi memahami pemikiran orang ramai, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Banyak benda mengarut dilaporkan media sekarang tapi ada juga yang baik. Jika kerajaan menerima media secara serius barulah ia benar-benar boleh mendapat manfaat daripada apa yang diterbitkan dalam media," kata Dr Mahathir dalam ucaptamanya pada Forum Antarabangsa yang diadakan hari ini sempena Perhimpunan Agung Umno 2010, di sini, Isnin.

Forum dua hari bertemakan "Pembentukan Warga Global : Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik" itu, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dihadiri 63 wakil 22 parti politik dari 20 negara, Kelab UMNO Luar Negara (KULN) serta delegasi kedutaan asing dan penganalisis politik.

Dr Mahathir berkata media telah menjadi hampir di luar kawalan berikutan kemajuan teknologi tetapi menurut beliau ia sebenarnya boleh ditangani dengan cara tertentu.

"Sudah tentu, ia semakin sukar tapi ia tidaklah terlalu teruk kerana kerajaan perlu bersiap sedia bagi memastikan mereka melakukan perkara yang betul. Jika tidak, media boleh menjadi kritikal. Jika media membuat tuduhan palsu, kerajaan perlu menjawab," katanya.

Dr Mahathir berkata cara bagi menangani keadaan itu ialah dengan melihat sama ada apa yang diperkatakan mereka boleh diterima. Jika mereka perlu ditolak, maka alasan yang baik perlu diberikan dan polisi perlu diselaraskan supaya media tidak mempunyai asas untuk menuduh kerajaan dan hanya menerbitkan isu-isu tertentu.

"Kita boleh berharap agar media boleh mengawal diri sendiri tetapi ia seumpama "harapan yang tidak berguna langsung" kerana akan ada orang yang tidak bertanggungjawab yang akan menyalahgunakan akses mereka dengan media.

Beliau berkata kerajaan perlu berhati-hati kerana ada orang lain yang mengawal media untuk kepentingan mereka bukan untuk kepentingan negara ini.

"Kerajaan boleh ditukar tetapi kita tidak boleh mengadakan pilihan raya bagi mana-mana pegawai yang mengendalikan media. Siapa yang memilih pemilik surat khabar, penyunting, editor dan wartawan? Adakah kita mengadakan pilihan raya untuk para editor?

"Kita tahu banyak surat khabar atau majalah yang dimiliki oleh sesetengah orang, sebagai contoh Rupert Murdoch, cuba bayangkan adakah dia tidak mengawal akhbarnya untuk kepentingan peribadi atau kepentingan orang yang mahu dilindunginya," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mendedahkan penyalahgunaan media secara terang-terangan oleh mereka yang mempunyai agendanya yang tersendiri.

"Ada seseorang yang mengawal media, ia tidak mungkin kerajaan tetapi apabila kamu mempunyai kerajaan yang mengawal media, sekurang-kurangnya kerajaan dalam sebuah negara demokrasi, (media itu) akan dikendalikan oleh mereka yang dipilih rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain