suria

Pinda Akta Pendaftar Bagi Menampung Pemohon Lewat

KUCHING: Ujian DNA (asid deosiribonukleik) perlu digunakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesahkan kesaihan pemohon yang lewat mendaftar kelahiran dan kad pengenalan khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata Kementerian Dalam Negeri perlu mempertimbangkan cadangan meminda Akta Pendafataran Negara 1959 bagi membolehkan ujian DNA diterima pakai bagi mengeluarkan sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Katanya terdapat keperluan mendesak untuk mempercepatkan pindaan dalam peraturan sedia ada bagi membolehkan penduduk Sarawak yang sah diberikan sijil kelahiran dan kad pengenalan.

"Saya hanya boleh merayu kepada Menteri Dalam Negeri mengenai dilema yang dihadapi oleh ramai penduduk di kawasan Parlimen saya di Selangau yang menghadapi masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Menurutnya ramai penduduk di kawasannya menghadapi masalah itu kerana ibu bapa mereka, yang buta huruf dan menghadapi masalah komunikasi, tidak memiliki dokumen sah walaupun dilahirkan di negeri itu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Matlious Mawah, 20, dari rumah panjang Rh. Nyawin Judi, Batu 36, Jalan Sibu-Bintulu, yang tidak ada kerakyatan, dan ibunya Merejok Nyalong, 38, yang kewarganegaraannya tidak dapat dipastikan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sah termasuk sijil pelepasan sekolah kerana dia tidak pernah ke sekolah.

Bagaimanapun, ibu Merejok, Lawi Nabong, 60, yang turut hadir pada sidang itu, mempunyai MyKad.

Mengenai masalah Matlious, Entulu berkata buruh itu ditahan oleh polis Ogos lepas di tapak kerjanya di Sungai Maong di sini kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri tetapi dilepaskan kerana mempunyai kesan suntikan vaksin BCG di tangan kirinya.

Di Malaysia, semua bayi baru lahir diberi suntikan vaksin BCG di semua klinik dan hospital di seluruh negara.

Entulu mencadangkan JPN mendapatkan bantuan ketua kampung dan rumah panjang, penghulu dan wakil rakyat untuk mengesahkan pemohon yang lewat mendaftar dalam gerakan proses pendafataran.

Ketika ini, katanya, kira-kira 400 penduduk kampung di kawasan Tamin masih belum memiliki sijil kelahiran atau kad pengendalan berikutan kerakyatan mereka tidak dapati dipastikan oleh JPN kerana kekurangan dokumen sah bagi menyokong permohonan mereka.

Katanya oleh kerana masalah itu, ramai daripada mereka hanya dapat bekerja sebagai buruh atau petani.-BERNAMA

Artikel Lain