suria

Pelbagai Perubahan Menanti Perhimpunan UMNO Ke-61

KUALA LUMPUR: Pelbagai perubahan menanti Perhimpunan Agung Umno ke-61 yang akan bermula Selasa ini, bukan sahaja dari segi dekorasi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang serba baru, malah suasana ruang legar kini bagaikan lobi hotel. Sebelum ini, ruang legar tingkat bawah PWTC di sini dipenuhi dengan gerai-gerai jualan pelbagai barangan bagaikan ekspo perdagangan, tetapi kini ia bertukar wajah dengan hanya beberapa gerai korporat diadakan di ruang tersebut.

Malah susun atur yang baru ini akan memudahkan aliran lalu lintas anggota perwakilan yang dijangka seramai 4,907 orang, berserta pemerhati yang kadang kala melebihi 1,000 orang.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata perubahan itu juga dibuat selaras dengan kehendak semasa dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada Umno sebagai parti yang telah lama berkhidmat untuk rakyat, selain membuktikan bahawa parti itu juga mampu berubah.

"Perhimpunan agung kali ini kita akan dapat lihat imej baru dengan hiasan logo-logo 1Malaysia, 1BN dan 1Umno dan pelbagai hiasan lain seperti billboard yang besar dan sebagainya, kedudukan bendera Umno juga diubah supaya orang ramai dapat lihat lebih banyak imej Umno," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai upacara menaikkan bendera Umno serta persiapan perhimpunan itu di PWTC, Ahad.

Ab Rauf berkata kedudukan gerai-gerai jualan yang lazimnya terletak di pintu masuk utama tingkat dua PWTC hanya dikhaskan untuk gerai-gerai butik dan korporat manakala gerai-gerai lain pula dipindah ke tingkat tiga.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan kesesakan para perwakilan dan orang ramai yang ingin menghadiri perhimpunan dan membeli belah, selain itu aliran keluar masuk perwakilan, pemerhati dan pelawat akan dijadikan laluan sehala.

Tinjauan mendapati para pekerja PWTC sedang giat melakukan persiapan terakhir menjelang perhimpunan di mana bangunan Umno mengalami transformasi wajah apabila ia dihiasi dengan pelbagai poster dan banner para pemimpin Umno terdahulu hingga kini. Suasana dalam PWTC pula tampak eksklusif apabila sofa-sofa diletakkan di sekitar ruang legar bangunan itu bagi memudahkan perwakilan dan pemerhati bersantai dan merehatkan minda.

Sementara tempat jamuan dihiasi dengan bunga-bunga segar menarik.

Mengenai Forum Antarabangsa yang julung kali diadakan selama dua hari bermula esok sempena perhimpunan itu, Ab Rauf berkata ia merupakan platform bagaimana Umno mendepani media maya memandangkan pembangkang sering menggunakan medium tersebut untuk membangkitkan isu.

"Menerusi forum ini juga, kita dapat berkongsi pengalaman dengan negara-negara lain yang turut berhadapan dengan parti politik yang sering menimbulkan masalah bagi mengukuhkan lagi kedudukan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata Umno juga akan menonjolkan imej kepimpinan yang menjurus kepada Model Politik Baru seperti yang disebut Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, untuk dijadikan contoh atau role model kepada negara lain.

Forum tiga sesi bertajuk "Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru" akan dipengerusikan oleh bekas wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Tan Sri Razali Ismail, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk 63 peserta dari 22 parti politik dari 20 buah negara luar bersama 54 peserta dari Kelab Umno Luar Negara dijangka menghadiri forum tersebut.

Seramai 4,907 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini iaitu Wanita (793), Pemuda (795), Puteri (776) dan Perhimpunan Agung (2,543). -BERNAMA

Artikel Lain