suria

KDN Selesaikan Baki Lebih 11,000 Permohonan Kewarganegaraan

GUA MUSANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyelesaikan baki 11,836 daripada 71,430 permohonan taraf kewarganegaraan termasuk 8,826 permohonan baru pada akhir tahun ini dan selewat-lewatnya 2012.

Timbalan Menterinya, Datuk Lee Chee Leong berkata sehingga tahun lalu kementeriannya sudah menyelesaikan permohonan yang dibuat sejak 1997 hingga 2006 melibatkan 32,927 pemohon dengan menubuhkan "Task Force" bagi urusan mempercepatkan prosesnya.

"Permohonan yang dibuat pada 2007 hingga 2009 melibatkan 29,677 di mana 25,677 permohonan telah diselesaikan manakala baki 4,000 lagi dalam proses dan akan turut diselesaikan sebelum penghujung tahun ini," katanya selepas Taklimat dan Penyerahan Sijil Pengesahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Gua Musang, di sini, Sabtu.

Beliau berkata usaha mempercepatkan proses kelulusan akan dibuat secara berterusan supaya setiap permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan perlu dipenuhi berdasarkan peraturan dan syarat yang ditetapkan. Lee berkata, kementeriannya sentiasa mengambil berat mengenai setiap pemohon tetapi mereka harus mematuhi syarat dan penentuan mengenai perkara berkenaan seperti bergantung kepada taraf ibu dan bapa pemohon.

Katanya kebanyakan mereka keliru mengenai permohonan hingga menimbulkan keraguan sebagaimana syarat yang kementerian tetapkan.

"Setiap pemohon yang lahir di negara ini tidak semestinya layak mendapat taraf kewarganegaan kerana penentuan itu tertakluk kepada taraf ibu dan bapa mereka semasa kelahiran di Malaysia," katanya.

Beliau mengharapkan mereka yang telah mendapat taraf kewarganegaraan perlu memahami budaya masyarakat negara ini dan perlu berkelakuan baik di samping setia kepada negara. -BERNAMA

Artikel Lain