suria

Amaran Kepada Syarikat Penerbangan Yang Menyalahi Peraturan

MEKAH: Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam(GACA) Arab Saudi memberi amaran bahawa syarikat penerbangan yang melanggari peraturan perkhidmatan semasa musim haji akan menghadapi tindakan tegas.

Menurut laporan akhbar Saudi Gazette hari ini, pihak berkuasa itu menyatakan bahawa salah satu langkah paling penting mengenai operasi udaranya yang membabitkan perkhidmatan haji adalah ia mesti menyediakan jaminan bank sebanyak SR600,000.

Jika syarikat penerbangan itu tidak membawa jemaah dan bagasi balik ke negara asal mereka, pihak berkuasa berhak memotong harga tiket dan bayaran bagasi daripada jaminan bank.

Ia menyatakan pihak berkuasa itu juga akan mendenda syarikat penerbangan berkenaan SR100,000 jika mereka membawa jemaah selepas tarikh akhir yang ditetapkan untuk mereka tiba dan SR10,000 jika pesawat itu berlepas dari negara ini tanpa permit berlepas.

Denda SR20,000 hingga SR50,000 akan dikenakan bagi mana-mana pesawat haji yang tidak mematuhi tarikh akhir untuk menyediakan senarai penumpang pesawat dan adalah wajib bagi jemaah untuk mengisytiharkan dalam borang kastam nilai barang kemas atau wang tunai yang dibawa melebihi SR60,000.

Pihak berkuasa itu juga berkata ketibaan jemaah ke tanah suci bermula 9 Oktober dan akan berakhir pada 11 Nov sementara tarikh mereka pulang ke tanah airnya bermula 21 Nov hingga 21 Dis.-BERNAMA

Artikel Lain