suria

Abdul Khalid Yakin Terajui Selangor Tanpa Jawatan Kanan Parti

PETALING JAYA: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebab utama beliau membatalkan hasratnya bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah kerana yakin dapat menguatkan muafakat dan mempromosikan budaya politik sihat tanpa sebarang kedudukan kanan dalam parti.

Beliau berpendapat, Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat boleh dikatakan sebagai contoh sebuah Kerajaan Persekutuan yang bakal dipimpin pakatan itu.

Oleh sebab itu, tambahnya, memandangkan pilihan raya umum yang akan datang semakin hampir, tugas pertama beliau adalah untuk menjadikan kerajaan di pakatan itu sebagai contoh kerajaan dinamik, berprinsip dan berpaksikan kebajikan rakyat di peringkat negeri mahupun di peringkat Persekutuan.

"Menjadi tugas saya juga untuk memastikan bahawa Selangor dikekalkan sebagai kubu kuat Pakatan Rakyat.

"Dengan membina keyakinan ini dalam minda rakyat, kita akan lebih dekat kepada hasrat kita untuk menyebarkan semangat Reformasi sehingga ke Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang disebut-sebut mahu bertanding merebut jawatan timbalan presiden tidak menyerahkan borang pencalonan mereka sebelum tempoh penyerahan berakhir petang Sabtu.

Sebaliknya, perebutan jawatan itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub - kedua-duanya Naib Presiden - dan serta Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam pada itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, keputusannya itu dibuat selepas mengadakan perbicangan dengan jawatankuasa khas yang dianggotai oleh Tian Chua, Irene Fernandez, Syed Shahir Syed Mohamud dan Dr Muhammad Nur Manuty bersama setiausaha politiknya, Faekah Husin.

"Dengan komitmen berterusan kami kepada kebajikan rakyat melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, kami berkeyakinan untuk mensasarkan kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya akan datang, mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen dan memenangi lima lagi kerusi BN sebagai sumbangan terhadap membentuk kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum," ujar beliau.

Sementara itu beliau berkata, faktor lain keputusan itu dibuta ialah untuk menumpukan perhatian spenuhnya terhadap Lembah Klang dalam belanjawan yang baru diumumkan.

Kata beliau, projek 'Greater Kuala Lumpur' melibatkan berbilion-bilion ringgit, dan kerajaan Selangor mesti memainkan peranan yang besar dalam memastikan projek-projek ini dikendalikan dengan cekap dan telus.

Menurut Abdul Khalid , demi menjamin kepentingan rakyat, kerajaan Selangor akan memantau dan meneliti semua projek ini, khususnya berkaitan proses tender dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan awam.

Artikel Lain