suria

Sarawak Sedia Bangun Zon Akuakultur

KUCHING: Sarawak sedia membangunkan zon akuakultur bersepadu dengan skala besar di Batang Ai dan Tanjung Manis, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak berkata kementeriannya akan mengerakkan segala jentera, termasuk melatih rakyat dan kakitangan kerajaan dalam pelaksanaan zon akuakultur bersepadu tersebut seperti yang diumumkan dalam Bajet 2011.

"Kita akan mengerakkan segala jentera supaya dalam tempoh masa setahun pelaksanaan ini, kita tidak akan menghampakan hasrat kerajan pusat untuk menolong rakyat seperti di bawah Gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Sarawak bertekad untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk mengambil berat terhadap keperluan rakyat, khususnya mereka di luar bandar sebagai satu usaha untuk membasmi kemiskinan dan menuju ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 semalam turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM252 juta untuk membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu dengan skala besar di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak serta Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah.

Najib berkata pembangunan zon akuakultur bersepadu itu bertujuan untuk memastikan produk yang dihasilkan menepati piawaian dan berkualiti.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain