suria

SAPP Bertanding Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 Nov ini, kata Presidennya Datuk Yong Teck Lee, Sabtu.

Beliau berkata parti itu di zon Sandakan telah bersedia menggerakkan jentera dan akar umbi untuk berkempen bagi memastikan kemenangan SAPP.

"Dalam siri mesyuarat agung cawangan SAPP di seluruh Sabah dan Labuan bermula 25 Sept hingga 10 Okt lepas, parti telah mengadakan raptai serentak untuk persiapan pilihan raya berkenaan.

"Persiapan itu termasuk analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman), penilaian kekuatan organisasi tempatan, isu dan kepimpinan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di sini.

Ditanya mengenai calon yang akan diketengahkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, Yong berkata nama calon akan diumumkan pada 23 Okt ini ketika majlis perasmian pejabat SAPP yang baru di Bandar Lela, Sandakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 26 Okt ini sebagai tarikh penamaan calon pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian wakilnya Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Tanjung Aru 9 Okt lepas.

Terdapat 25,582 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pemilih pos di kawasan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain