suria

Program Pengedaran Barang Perlu Ringan Beban Rakyat

SERDANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yakin Program Pengedaran Barang Perlu pasti dapat meringankan beban rakyat terutama di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin dapat mengedarkan barangan keperluan kepada 80 peratus penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM200 juta pada tahun hadapan.

"Inisiatif sama pada tahun lalu dengan peruntukan kira-kira RM79 juta telah dapat meliputi 30 peratus penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembudayaan Gaya Hidup Lestari di Universiti Putra Malaysia (UPM, Sabtu.

Beliau diminta mengulas Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat semalam.

Ismail Sabri berkata ketika ini sebilangan besar penduduk yang berada di pedalaman terpaksa membayar harga barangan keperluan dengan kadar yang melampau setelah diambil kira kos pengangkutan yang tinggi.

"Di sesetengah kawasan mereka terpaksa membayar sekitar RM100 bagi mendapatkan bekalan gas memasak sahaja," katanya.

Sementara itu beliau berkata kakitangan kementerian akan meneruskan usaha memantau harga barangan di pasaran termasuk 300 barangan yang turut dimansuhkan duti importnya seperti yang diumumkan Jumaat.

Pemansuhan barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus itu adalah bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.

Selain itu katanya sebanyak 100 buah kedai runcit akan terlibat di bawah Program Transformasi Kedai Runcit yang juga diperkenalkan semalam, pada tahun hadapan.

"Kita menyasarkan kira-kira 500 buah kedai runcit akan terlibat menjelang 2014. Kita mahu kedai runcit kita kelihatan lebih moden, bersih dan tersusun seiring dengan sasaran ke arah menjadi negara maju," kata menteri itu.

Menyentuh tentang Program Pembudayaan Gaya Hidup Lestari itu, Ismail Sabri berkata kementerian akan menyelaraskan "Hari Tanpa Plastik" di seluruh negara pada tahun hadapan.

"Penetapan ini bagi memperkukuhkan kempen kesedaran masyarakat tentang bahaya penggunaan plastik ini. Kita akan menetapkan satu hari, seminggu sekali, pada hari yang sama, di seluruh negara," katanya. Beliau berkata ketika ini hanya pasar raya besar yang terlibat tetapi dengan pilihan hari yang berlainan.

"Perbincangan sedang dan akan dilakukan dengan beberapa pihak yang berkaitan supaya kita dapat melibatkan semua pihak dari pasar raya besar sehinggalah peruncit di seluruh negara bagi menjayakan kempen ini," kata Ismail Sabri.

Pada masa sama beliau berharap pengguna perlu mengubah sikap dan mentaliti bagi memelihara alam sekitar di mana ketika ini daripada 290 buah pusat pelupusan sampah, 114 buah pusat didapati tidak lagi mampu menampung sisa pepejal yang kian bertambah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain