suria

Pemuda Umno Sabah Harap Anak Tempatan Jadi Calon Parlimen Batu Sapi

SANDAKAN: Pemuda UMNO Sabah mahu seorang anak tempatan dan berjiwa rakyat diketengahkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi bulan depan.

Ketuanya Azman Ruslan berkata calon tersebut perlu memiliki kualiti dan mampu memberi perkhidmatan yang baik untuk penduduk di kawasan tersebut.

Bagaimanpun, katanya Pemuda UMNO Sabah akan menyerahkan kepada kepimpinan BN bagi menentukan calon pilihan.

"Tidak kira siapa yang dicalonkan nanti, kami akan memastikan beliau menang pada pilihan raya kecil itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Pemuda UMNO Bahagian Batu Sapi di sini malam ini.

Katanya pihaknya akan melaksanakan strategi yang sesuai bersama parti komponen BN yang lain bagi mendekati pengundi di kawasan Batu Sapi.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Sapi, Khairul Firdaus, berkata pihaknya akan akur dengan pemilihan calon oleh pucuk kepimpinan BN dan akan memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya di Kota Kinabalu, Sabtu lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan 26 Oktober ini bagi tarikh penamaan calon dan hari pengundian pada 4 November ini untuk pilihan raya kecil kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain