suria

Pemilik Ladang Ayam Rugi RM5 Juta, Ladang Musnah Dalam Kebakaran

IPOH: Sebuah ladang ternakan ayam di Batu 3 Jalan Lintang, Sungai Siput dekat sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi, mengakibatkan kerugian sekitar RM5 juta.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supritendan Azman Salim berkata kebakaran di ladang seluas 1.2 hektar itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 malam.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana semasa kejadian kesemua lima pekerja warga Bangladesh berjaya menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ladang itu juga katanya kosong kerana pemilik baru menjual kesemua ayam ternakannya minggu lepas.

Beliau berkata pihak bomba dengan enam jentera mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas. Sementara itu, pengusaha ladang Ahmad Nasir Saidi ketika ditemui berkata nilai kerugian tersebut dianggar berdasarkan kemusnahan reban dan juga pelbagai jenis mesin memproses ayam, selain sebuah kereta serta sebuah motosikal.

Dia yang tinggal di Klebang Jaya, Ipoh berkata ladang itu dibuka sejak empat tahun lepas.

Kesemua reban itu dalam proses dibersihkan selepas lebih 100,000 ekor ayam dijual kepada pemborong baru-baru ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain