suria

Muktamad: Tiada Bonus Kepada Kakitangan Awam Tahun Ini...

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan tidak akan memberi bonus kepada lebih sejuta kakitangan awam pada tahun ini kerana kos pemberian tersebut akan menelan perbelanjaan sebanyak RM3.1 bilion.

"Sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab, saya mesti tegaskan kerajaan tidak boleh berbelanja lebih daripada apa yang diperuntukkan dalam bajet," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Perhimpunan bertema "Guru Pemangkin 1Malaysia" itu dihadiri kira-kira 14,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Bagaimanapun kata Najib, Bajet 2011 memperuntukkan bantuan khas persiapan sekolah sebanyak RM500 bagi penjawat awam gred 54 ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan yang akan dibayar pada Disember ini.

Mengenai pemberian cuti bersalin sebanyak 90 hari berbanding 60 hari sebelum ini kepada penjawat awam wanita, Najib berkata, ini dapat memberikan manfaat kepada guru yang 70 peratusnya daripada jumlah keseluruhan terdiri daripada wanita.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut memberi faedah tambahan dari segi pinjaman perumahan di mana had maksimum pinjaman perumahan dinaikkan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, agar penjawat awam lebih mampu membeli rumah lebih berharga.

Mengenai pelbagai memorandum yang disampaikan kepada beliau untuk melakukan penambahbaikan skim perkhidmatan perguruan, Najib berkata beliau perlu sedikit masa menelitinya kerana melibatkan implikasi kewangan dan kumpulan guru yang besar.

"Sebab itu saya perlu teliti bersama JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Kewangan. Banyak cadangan dikemukakan...sekiranya kerajaan mampu, saya akan bincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran)...boleh buat pengumuman bila sampai pada masanya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain