suria

Laksana Gaji Minimum Di Sektor Berpotensi - MCA

MELAKA: MCA mahu Majlis Konsultasi Gaji Negara yang diumumkan penubuhannya pada Bajet 2011 semalam, melaksanakan gaji minimum di sektor yang berpotensi berkembang maju terlebih dahulu iaitu perladangan dan pembuatan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata negara tidak boleh bergantung kepada gaji yang rendah dengan produktiviti rendah dan teknologi lapuk untuk mencapai agenda pembangunan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Bagi sektor-sektor yang berpotensi untuk berkembang maju seharusnya dilaksanakan (gaji minimum) ini, antaranya ialah industri ladang dan pembuatan, ini adalah industri yang berpotensi berkembang.

"Kami (MCA) tidak bersetuju pelaksanaan gaji minimum akan membebankan majikan seterusnya menyebabkan Malaysia tidak berdaya saing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan MCA Bersama Pemimpin Masyarakat di sini,Sabtu.

Beliau berkata jika diperhatikan di negara jiran seperti Singapura, Hong Kong dan Taiwan, mereka mempunyai daya saing yang tinggi walaupun gaji rakyatnya berkali ganda berbanding gaji rakyat di Malaysia.

Katanya daya persaingan menerusi gaji minimum ini akan dapat meningkatkan kemahiran, produktiviti selain teknologi sesebuah negara.

Dr Chua berkata gaji minimum yang ditetapkan juga perlu mengambil kira lokasi, contohnya gaji pekerja di Lembah Klang harus berbeza dengan gaji di Kedah dan Perlis mengikut keadaan sosio-ekonomi rakyat walaupun mereka bekerja dalam sektor yang sama.

Mengenai cadangan kerajaan untuk membina menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat di Kuala Lumpur, MCA berpendapat kerajaan perlu memberi maklumat yang lebih lengkap supaya projek itu tidak menjadi 'gajah putih'.

Projek menara tertinggi di Malaysia itu dijangka dibina di sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara di ibu negara bernilai RM5 bilion yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan negara.

Mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata semua rakyat perlu menerima hakikat bahawa sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan cukai itu walaupun telah menjadi lumrah di mana-mana negara di dunia, rakyat akan menentang sekiranya cukai baru yang dikenakan bertambah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain