suria

FIT Akan Rangsang Pelaburan Swasta

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan mekanisme "Feed in Tariff" (FiT) menerusi Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) akan merangsang pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pengarahnya Datuk Jalilah Baba berkata tindakan yang diketengahkan dalam Bajet 2011 menunjukkan kerajaan serius dalam komitmen jangka panjang dalam mempromosikan teknologi hijau.

"Ia juga akan menggalakkan pengeluaran dan penggunaan, sekali gus membantu komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 40 peratus menjelang 2020," katanya selepas merasmikan Persidangan Uahawan Muda (YES), di sini Sabtu.

Persidangan itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan India Kuala Lumpur dan Selangor dan ditaja oleh MIDA.

Menerusi Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kerajaan akan melaksana mekanisme FiT menerusi Akta RE bagi membolehkan bekalan elektrik yang dihasilkan menerusi RE oleh individu dan penyedia bebas, dijual kepada syarikat utiliti bekalan elektrik.

Jalilah berkata pada masa ini terdapat syarikat asing menjalankan kajian di Malaysia untuk mengetahui sama ada angin dan ombak mencukupi untuk menjana tenaga alternatif.

"Teknologi angin sudah terbukti di kebanyakan negara. Kita perlu tunggu dan lihat keputusan kajian itu. Jika mencukupi, mereka akan datang," katanya.

Jalilah berkata MIDA juga memberi bantuan untuk syarikat Malaysia meneroka sektor RE dengan menggalakkan mereka memasang panel sel solar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain