suria

Cuti Bersalin 90 Hari Penting Untuk Pulihkan Kesihatan

KUALA LUMPUR: Pemberian cuti bersalin 90 hari kepada penjawat awam wanita adalah penting dari perspektif kesihatan reproduktif bagi membolehkan ibu yang baru melahirkan pulih dari segi fizikal, emosi, mental dan psikologi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata dalam satu kenyataan Sabtu, pelanjutan tempoh cuti bersalin juga mampu meningkatkan "bonding" ibu dengan anak yang baru dilahirkan.

Beliau berkata, dianggarkan seramai 310,000 daripada 451,100 penjawat awam wanita yang sudah berkahwin dan berumur antara 20 hingga 39 tahun, dapat menikmati pelanjutan tempoh cuti bersalin itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 mengumumkan bahawa penjawat awam wanita di negara ini akan diberi fleksibiliti kemudahan mengambil cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari, berbanding 60 hari pada masa ini.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak di bawah inisiatif projek perkongsian awam-swasta adalah tepat pada masanya, selain memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap kesihatan serta kesejahteraan golongan itu.

"Langkah ini turut meningkatkan aksesibiliti kumpulan sasar berkenaan kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain