suria

Warisan Merdeka Tidak Gugat Menara Berkembar Petronas

KUALA LUMPUR: Projek bersepadu dinamakan Warisan Merdeka yang akan menjadi mercu tanda kebanggaan negara seperti dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2011 tidak akan menggugat Menara Berkembar Petronas.

Projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka itu dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara termasuk pembinaan sebuah menara 100 tingkat di Malaysia.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen melihat projek bersepadu itu berupaya meningkatkan imej Malaysia terutama dalam sektor pelancongan.

“Kewujudan menara 100 tingkat ini akan meletakkan Malaysia dalam peta pelancongan dunia yang menunjukkan kecemerlangan dan kemodenan negara.

“Ini kerana projek bersepadu ini memberikan keseimbangan dalam sektor pelancongan dari segi budaya, tradisi dan kemodenan yang akan menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Jumaat.

Mengenai Malaysia sudah mempunyai mercu tanda tumpuan pelancong dunia iaitu Menara Berkembar Petronas, Yen Yen berkata, masih ada ruang untuk mewujudkan mercu tanda baru kerana kebanyakan negara masing-masing berfikiran sedemikian.

“Shanghai (China) mahu bina bangunan lebih tinggi yang baru begitu juga dengan Taipei, Taiwan. Jadi kenapa kita perlu ketinggalan ke belakang?

“Tak kan kita hanya mahu tertumpu kepada Menara Berkembar sahaja. Warisan Merdeka tidak menggugat mana-mana mercu tanda tetapi merancakkan lagi tarikan untuk pelancong,” katanya.

Beliau menambah, jika Malaysia hanya mengharapkan yang satu dan tidak melakukan pembaharuan maka negara tidak akan ke hadapan.

“Paling penting adalah kita mampu melakukannya. Ini menunjukkan perkembangan dan persaingan dengan negara-negara lain seiring peredaran masa,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain