suria

Tiga Juta Pekerja Dapat Manfaat Daripada Gaji Minimum

PETALING JAYA: Lebih tiga juta pekerja sektor swasta akan mendapat manfaat daripada langkah kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang dipertanggungjawabkan menentukan kadar dan mekanisma penetapan gaji minimum, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Malaysia (MTUC) G.Rajasegaran. Beliau berkata tuntutan MTUC berhubung penetapan gaji minimum sudah berlarutan sejak 60 tahun lalu, dan kini ia akan direalisasikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentang Bajet 2011 di parlimen hari ini berkata kerajaan akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja.

Rajasegaran memberitahu Bernama bahawa perkara itu sudah lama dinantikan, dan ia pasti akan dapat membantu golongan pekerja, terutama di kalangan pekerja miskin.

Menurutnya soal selidik kerajaan baru-baru ini mendapati bahawa kira-kira 34 peratus pekerja kini berpendapatan RM700 sebulan, iaitu di bawah paras RM720 yang ditetapkan sebagai garis kemiskinan.

Merujuk kepada kebenaran buat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pelaburan sehingga 20 peratus di luar negara, Rajasegaran berkata pertubuhan itu perlu "berhati-hati" kerana pasaran luar negara amat tidak menentu.

Katanya MTUC juga tidak bersetuju sekiranya syarikat-syarikat insurans mengurus dana pencen, kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan bahawa syarikat-syarikat ini amat mementingkan keuntungan dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya kepada keperluan pekerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain