suria

Sektor Perkhidmatan Dijangka Berkembang 5.3 Peratus Pada 2011

KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan diunjur berkembang 5.3 peratus tahun hadapan dengan pelaksanaan program dan inisiatif di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan perkhidmatan. Antaranya ialah perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelancongan, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan perniagaan.

Dalam Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dikeluarkan di sini, Jumaat, Perbendaharaan berkata pertumbuhan di dalam sektor perkhidmatan juga akan disokong oleh aktiviti berkaitan perdagangan dan ekonomi domestik yang kekal kukuh.

Ia berkata kesemua subsektor dijangka mencatat pertumbuhan diterajui oleh subsektor kewangan dan insurans, komunikasi serta perdagangan borong dan runcit.

Perbendaharaan berkata sektor perkhidmatan dijangka kekal menyumbang 57.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dlam tempoh separuh pertama 2010, sektor perkhidmatan berkembang 7.9 peratus berbanding dengan 0.8 peratus pada tempoh yang sama tahun 2009, disokong aktiviti berkaitan perdagangan dan penggunaan yang kukuh.

Selaras dengan unjuran prestasi yang lebih baik dalam semua sektor ekonomi, erbendaharaan berkata sektor tersebut dianggar meningkat 6.5 peratus dan merangkumi 57.3 peratus daripada KDNK pada tahun 2010.

Ia berkata subsektor kewangan dan insurans dijangka berkembang 6.3 peratus pada tahun 2010 daripada 5.1 peratus pada 2009, disokong oleh aktiviti pinjaman bank dan insurans yang lebih tinggi.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, permohonan, kelulusan dan pengeluaran pinjaman mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 18.2 peratus, 18.1 peratus dan 15.2 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh ekonomi domestik.

Sementara itu, Perbendaharaan berkata sektor pembuatan dijangka terus berkembang 6.7 peratus sejajar dengan kedudukan ekonomi yang lebih baik.

Industri berorientasi eksport dijangka terus meningkat disokong oleh perdagangan intra-serantau yang kukuh, serta subsektor elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan (M&E) dijangka menerajui pertumbuhan sektor tersebut.

Perbendaharaan berkata industri berorientasi domestik dijangka meningkat sejajar dengan perbelanjaan pengguna yang tinggi dan keyakinan perniagaan yang mantap.

Prospek bagi subsektor bahan berkaitan pembinaan adalah menggalakkan dengan segmen kejuruteraan awam dijangka memperoleh manfaat daripada pelbagai projek infrastruktur yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Menurut Perbendaharaan bagi 2010, sektor pembuatan dijangka meningkat 10.8 peratus berbanding dengan negatif 9.4 peratus tahun 2009, didorong oleh permintaan domestik dan serantau yang kukuh.

Bagi sektor pertanian, Perbendaharaan berkata sektor tersebut dijangka terus meningkat 4.5 peratus pada tahun hadapan berbanding dengan unjuran 3.4 peratus pada tahun 2010, disumbang oleh subsektor komoditi dan bukan komoditi.

Ia berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada 2010 dianggar meningkat 3.4 peratus kepada 18.4 juta tan metrik daripada 17.8 juta tan metrik berikutan hasil buah tandan segar (FFB) yang tinggi ekoran peningkatan kawasan matang, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Perbendaharaan berkata sektor kelapa sawit dijangka memainkan peranan penting dalam melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi dengan hasil pertukaran asing melebihi dua kali ganda mencapai RM100 bilion pada tahun 2020.

Sektor perlombongan pula dijangka tumbuh 2.9 peratus pada tahun hadapan berbanding dengan satu peratus diunjur untuk tahun 2010, berikutan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi.

Pengeluaran gas asli dijangka terus meningkat 6.1 peratus kepada 2,364,840 Juta Kaki Padu Standard (mmscf) daripada 2,229,074 mmscf dijangka pada 2010, berikutan prestasi industri keluaran petrokimia domestik yang memberangsangkan serta permintaan global yang lebih tinggi, khususnya dari China dan India.

Sebaliknya, pengeluaran minyak mentah dijangka merosot 1.3 peratus kepada 633,100 tong sehari (tsh) disebabkan aktiviti penyelenggaraan loji yang dirancang dan pelaksanaan Pelan Pengurusan Resevoir oleh Petronas untuk mengekalkan pengeluaran minyak mentah bagi tempoh jangka panjang. Bagi tahun 2010, pengeluaran minyak mentah dijangka merosot 2.6 peratus kepada 641,400 tsh disebabkan sebahagiannya oleh pelaksanaan program Pelan Pengurusan Resevoir, Petronas.

Perbendaharaan berkata pertumbuhan sektor perlombongan kembali pulih dua peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini berbanding dengan negatif 4.4 peratus pada tempoh yang sama tahun 2009, dipacu sebahagian besarnya oleh pengeluaran gas asli yang lebih tinggi yang dapat mengimbangi pengeluaran minyak mentah yang rendah.

Rizab minyak mentah negara berada pada paras 5.80 bilion tong pada 1 Januari 2010 dan dijangka bertahan selama 24 tahun berdasarkan paras pengeluaran semasa.

Sementara itu, Perbendaharaan berkata sektor pembinaan dijangka berkembang 4.4 peratus tahun hadapan daripada 4.9 peratus diunjur untuk tahun 2010 disokong oleh pelaksanaan lebih pesat projek sedia ada.

Antaranya adalah Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Jambatan Kedua Pulau Pinang, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (pakej 3), Saluran Paip Sabah-Sarawak dan pemanjangan aliran laju searas daratan (LRT).

Selain itu, Perbendaharaan berkata pembangunan projek di lima koridor pembangunan serta pelaksanaan projek baru di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, termasuk projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Antaranya adalah landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru, Lebuhraya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuhraya Guthrie-Damansara, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Pandan-Cheras, Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak dan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 megawatt di Sabah.

Perbendaharaan berkata sektor pembinaan terus kukuh 6.3 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini berbanding dengan 2.9 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2009.

Perkembangan ini sebahagian besar didokong oleh peningkatan aktiviti kejuruteraan awam dan bukan kediaman berikutan pelaksanaan segera projek pembinaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan pakej rangsangan. Pada akhir September 2010, sejumlah 119,203 projek bernilai RM17.9 bilion telah dilaksanakan di bawah kedua-dua pakej rangsangan. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain