suria

Polis Curi Dadah Kes Terpencil, Sharifuddin

TEMERLOH: Anggota dan pegawai polis yang dipercayai terlibat mencuri dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan terbesar negara di Rompin pada tahun lepas hanya kes terpencil dan tidak menggambarkan imej keseluruhan anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata perkara itu berlaku kerana sifat tamak sesetengah anggota polis.

"Kita ada arahan dan peraturan yang sepatutnya diikuti tetapi ini berlaku kerana sifat tamak," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Temerloh di sini, Jumaat.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan daripada tuduhan mengedar 753,359 gram dadah di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei tahun lepas.

Ketika membuat keputusan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu milik tertuduh selain tidak memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Mahkamah juga mahu beberapa anggota polis yang mengaku mencuri barang kes iaitu syabu seberat 40 kilogram ketika perbicaraan kes itu didakwa.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Penolong Pengarah Perjawatan (Audit II) di Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mohd Nor Mansor, 56, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh yang baru menggantikan ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkuat kuasa hari ini.

Ahmad Fadzillah yang tidak sengaja mencederakan rakannya semasa memburu di Hutan Simpan Kemasul, Lanchang pada 18 September lepas pula mengambil alih tugas Mohd Nor.

Sharifuddin berkata pertukaran itu merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhi dan diambil secara positif oleh Ahmad Fadzillah kerana ia mungkin mengandungi hikmah di sebaliknya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain