suria

PGA Semporna Rampas Petrol Dan Diesel Di Perairan Bohey Dulang

SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini berjaya merampas 6,030 liter petrol dan 4,290 liter diesel, yang cuba diseludup keluar ke negara jiran malam Rabu, di kawasan perairan Bohey Dulang.

Pegawai Pemerintah PGA, Batalion Ke-14, Supritendan Khaled Che Lah berkata minyak petrol dan diesel yang disimpan dalam tong plastik dirampas kira-kira pukul 9 malam dari sebuah bot panjang oleh anggota PGA yang menjalankan tugas rondaan di kawasan perairan Bohey Dulang.

Katanya turut dirampas adalah 170 kilogram (kg) minyak masak, 55 kg gula pasir dan sembilan tong gas memasak.

"Juragan bot berkenaan dan 10 orang penumpang di atas bot itu, termasuk dua wanita, berusia antara 9 hingga 54 tahun, turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan," katanya.

Katanya kesemua barangan rampasan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Khaled berkata pihaknya berjaya merampas 520 bungkus rokok berjenama Plaza dan 500 bungkus rokok berjenama Marvel's pada 9 September lalu yang cuba diseludup masuk dari negara jiran melalui Semporna.

Katanya rokok berkenaan dirampas dari sebuah bot panjang yang datang dari arah Selatan Filipina di perairan Salakan, Semporna, hasil penyamaran anggota PGA.

“Siasatan awal mendapati rokok-rokok berkenaan diseludup masuk dari Sitangkai, di selatan Filipina untuk dipasarkan di Semporna dan sekitarnya,” katanya.

Khaled berkata lima lelaki dan dua wanita berumur antara 12 hingga 70 tahun turut ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain