suria

Peruntukan Subsidi 2011 Masih Besar, Kata Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal merupakan satu langkah yang berada di hala tuju yang betul tetapi peruntukan subsidi bagi 2011 masih besar, kata seorang pakar ekonomi. "Kami memuji rancangan kerajaan itu. Bagaimanapun, kami agak kecewa melihat peruntukan subsidi bagi 2011 masih besar pada RM23.7 bilion, meskipun pelan rasionalisasi subsidi oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi awal tahun ini.

"Kami menganggap defisit itu boleh dikurangkan lagi sekiranya rancangan rasionalisasi subsidi itu diikuti dengan tegas," kata Pakar Ekonomi Kumpulan AmBank Manokaran Mottain.

Mengulas mengenai Bajet 2011, beliau berpendapat pembiayaan defisit menerusi dana dalaman, sebagai satu langkah positif.

"Pembiayaan seharusnya kekal dapat diurus berikutan mudah tunai besar dalam sistem perbankan," katanya.

Kerajaan menjangka defisit bajet kepada nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengecil daripada 5.6 peratus pada 2010 kepada 5.4 peratus pada 2011.

"Kami terdahulu menjangka defisit iskal turun dengan pantas kepada 5.3 peratus KDNK pada 2011, sebelum melihat bajet seimbang, sebelum akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh," jelas Manokaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2011 di Parlimen Jumaat. Mengenai KDNK sebenar melantun semula kepada tujuh peratus, Manokaran berkata unjuran itu kelihatan lebih konservatif daripada bermatlamat tinggi.

"Bagi pihak kami, kami mengekalkan unjuran kami bagi 2010 pada lapan peratus dan mengunjurkan enam peratus pada 2011," katanya.

Menyentuh mengenai harga, beliau menjelaskan inflasi dijangka kekal kukuh, di atas andaian bahawa subsidi bahan api dikekalkan dan dengan demikian, harga runcit produk petroleum kekal tidak berubah bagi tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.

"Justeru itu, kami mengunjurkan 2.5 peratus tahun depan (2010: 2 peratus). Sehubungan itu, kami mengulangi bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan lagi dalam kadar faedah dan OPR akan kekal tidak berubah dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain