suria

Pemimpin Negeri Sambut Baik Bajet

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, Jumaat mendapat reaksi positif daripada pelbagai lapisan rakyat kerana ia dibuat selaras dengan matlamat kerajaan mentransformasikan negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Rata-rata pemimpin peringkat negeri melihat ia sebagai bajet yang mendahului kepentingan serta kehendak rakyat pada segenap lapisan, khususnya membantu rakyat berpendapatan rendah dan yang tinggal di luar bandar, bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata Bajet 2011 memiliki asas-asas yang tepat untuk Malaysia menuju ke tahap sebuah negara maju berpendapatan tinggi menerusi ertumbuhan ekonomi secara berterusan yang dipelopori oleh sektor swasta.

Beliau berkata bajet itu juga menekankan peningkatan produktiviti yang dipadankan dengan modal insan serta hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Ia juga adalah bajet yang meneruskan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat keseluruhannya termasuk di luar bandar," katanya di dalam satu kenyataan.

Menteri Besar Johor itu turut berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana Bajet 2011 memberi tumpuan terhadap pertumbuhan sektor minyak dan gas serta kluster industri yang berkaitan menerusi pelaburan swasta sebanyak RM6 bilion di negeri itu. Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), berkata komitmen kerajaan pusat terhadap Iskandar Malaysia juga diperkukuhkan menerusi peruntukan RM339 juta untuk kemudahan infrastruktur serta pengangkutan awamnya.

Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan Bajet 2011 sebagai satu bajet yang luar biasa, serta bakal memberikan kesan yang positif kepada negara dan rakyat.

"Perdana Menteri telah mengambil kira keadaan semasa ekonomi global dan menyesuaikannya untuk merangsang perkembangan fiskal negara dan menyusun langkah-langkah memulangkan semula faedah kepada rakyat," katanya.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Bajet 2011 merupakan satu transformasi negara ke arah memajukan rakyat dalam era yang lebih mencabar.

"Bajet 2011 yang dibentangkan hari ini merupakan suatu yang amat terancang dan holistik, sekali gus merealisasikan kehendak rakyat. Saya lihat, Bajet 2011 ini benar-benar memberi impak besar kepada kepentingan rakyat dan dibuat dengan begitu terancang sekali," katanya di sini.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yakin proses pembangunan koridor akan turut memberi manfaat besar kepada negeri itu.

Sambil menyifatkan bajet itu sebagai amat sesuai dengan perkembangan semasa, beliau berkata tumpuan di sektor pertanian yang menjadi asas pembangunan negeri itu, akan merangsang pengeluaran makanan negara.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata bajet tersebut mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan semua golongan masyarakat termasuk tua, muda, miskin, wanita dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Terbukti menerusi bajet untuk rakyat ini, kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri, terus memberikan perhatian, keprihatinan dan komitmen tinggi kepada kita di Sabah dari segi peruntukan pembangunan untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pembentangan bajet itu menerusi siaran langsung televisyen di kediaman rasminya Sri Gaya di sini.

Sementara itu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata bajet itu menguatkan komitmen kerajaan terhadap konsep 1Malaysia di mana semua rakyat mendapat manfaat sama rata.

"Peruntukan berbilion ringgit untuk rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak merupakan testimoni usaha kerajaan dalam menyelesaikan ketidakseimbangan kehidupan rakyat luar bandar," kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) itu.

Sementara itu, aktivis sosial Sabah Datuk Patrick Sindu berkata secara keseluruhan Bajet 2011 baik untuk rakyat Sabah kerana kerajaan persekutuan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk pelaksanaan infrastruktur asas di negeri itu.

Patrick juga mahu kerajaan memantau dengan rapi pelaksanaan setiap projek pembangunan yang dirancang bagi memastikan ia dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Di KUCHING, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Bajet 2011 yang memperuntukkan RM93 juta untuk prasarana di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), telah memenuhi keperluan pembangunan dan pelaburan negeri itu.

"Syukur…saya fikir Perdana Menteri sangat peka kepada keperluan Sarawak.

"Beliau tahu SCORE perlu pelaburan yang banyak untuk infrastruktur, tetapi pulangannya juga amat baik," katanya mengulas mengenai Bajet selepas menghadiri pertandingan peringkat akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak di sini.

Taib berkata peruntukan itu akan digunakan untuk membina lebih banyak jalan, lapangan terbang dan pelabuhan bagi menarik pelabur ke negeri itu.

Di MELAKA, Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Bajet 2011 amat tepat untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam memacu Malaysia ke arah negara maju.

"Ini satu bajet yang amat tepat dan dengan memperkuatkan infrastruktur bagi sektor-sektor utama akan memberi kesan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

"Pengumuman bajet ini juga mengambil kira kesejahteraan rakyat keseluruhan termasuk sektor awam untuk pelaksanaan lebih efisien," katanya kepada pemberita.

Di KUALA TERENGGANU, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Terengganu (DPCT) Cheah Keng Toh berkata bajet kali ini menggalakkan rakyat pelbagai kaum bekerjasama dalam meningkatkan lagi sektor ekonomi negara.

Yang Dipertua Dewan Perdagangan Islam (DPI) negeri Terengganu Datuk Dr Abdul Latif Awang pula berkata bajet yang dibentangkan itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan pelbagai lapisan dan golongan rakyat di negara ini. Di ALOR SETAR, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata masyarakat luar bandar begitu dekat di hati Perdana Menteri apabila mengumumkan peruntukan yang besar untuk masyarakat luar bandar.

Katanya ini membuktikan kerajaan sentiasa berusaha memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan daripada arus pembangunan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain