suria

Pegawai Imigresen Ditahan ISA Bersekongkol Sindiket Berbahaya

KUALA LUMPUR: Tujuh pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kerana bersekongkol dengan ketua-ketua sindiket yang sangat berbahaya serta boleh memudaratkan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, penglibatan mereka bukan hanya melibakatkan penyeludupan manusia melalui pintu masuk utama tetapi juga terdedah kepada pelbagai jenayah serius lain seperti aktiviti pengganas, penyeludupan senjata api, dadah dan penyuluhan (pengintipan).

"Mereka telah dipantau lama oleh polis, dan penglibatan mereka dengan ketua-ketua sindiket ini sangat berbahaya dan serius.

"Saya memandang berat kes-kes penyeludupan ini kerana melibatkan soal keselamatan di pintu masuk negara sekali gus menjejaskan nama baik negara dan turut menimbulkan ancaman kepada keselamatan di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Menteri Imigresen dan Kerakyatan Australia, Chris Bowen di pejabatnya di Bukit Aman di sini Khamis.

Beliau diminta mengulas penahanan tujuh pegawai imigresen itu dan dua warga asing mengikut ISA dalam operasi besar-besaran selama tiga hari bermula Ahad lepas.

Kesemua pegawai imigresen yang ditahan itu dipercayai bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Hishammuddin berkata, tindakan penahanan itu mampu membongkar dan mengekang kegiatan sindiket penyeludupan warga asing.

"Saya mahu siasatan diteruskan hingga ke akar umbi kerana mahu setiap inci kegiatan sebegini dilumpuhkan.

Hishammuddin bagaimanapun mempertahankan kewibawaan majoriti pegawai imigresen yang menjalankan tugas dan tanggungjwab dengan jujur dan amanah.

Mengenai pertukaran Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman ke KDN sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen, Hishammuddin berkata ia adalah proses biasa.

"Tidak ada kaitan dengan kes-kes melibatkan jabatan itu sejak akhir-akhir ini. Ianya hanyalah proses biasa yang melibatkan pegawai dalam mana-mana jabatan kerajaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain