suria

Para Menteri Alu-Alukan Bajet 2011

KUALA LUMPUR: Para Menteri Kabinet mengalu-alukan Bajet 2011 yang akan memberi pelbagai faedah kepada semua golongan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penstrukturan semula Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli membuktikan bahawa kepentingan orang Asli di negara ini tidak diketepikan malah dinaik taraf.

"Kita akan melakukan pendekatan baru dalam memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata peruntukan yang disediakan dapat memenuhi selera masyarakat khususnya penyediaan prasarana di luar bandar dari aspek keperluan asas seperti air dan elektrik.

"Lonjakan elaun ahli Jawatankuasa Kampung di luar bandar juga akan membantu mereka meningkatkan perkhidmatan kepada orang kampung," katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula percaya peruntukan yang diberikan kepada kementeriannya adalah mencukupi untuk memastikan semua agensi bergerak senada mengikut sasaran yang ditetapkan termasuk dalam mengurangkan kadar jenayah.

Bagaimanapun katanya, dalam mencapai sasaran itu, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bukan sahaja daripada pihak pencegah dan penguat kuasa tetapi juga dari pihak pendakwa dan pemulihan.

"Usaha ini merentasi agensi dan apa yang dibentangkan tadi menjurus kepada usaha bersepadu. Ia merupakan transformasi dan pendekatan yang tidak ada sebelum ini," katanya.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin gembira kerana usaha membangun dan memantapkan modal insan merupakan antara strategi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berpuas hati dengan peruntukan yang diberikan kepada kementerian itu dan menyifatkannya sebagai satu rangsangan besar berdasarkan prestasi atlet semasa Sukan Komanwel New Delhi yang berakhir Khamis.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata peruntukan bajet akan membolehkan kementeriannya memulakan program 1Care di masa depan yang bertujuan mengintegrasi sektor kesihatan awam dengan sektor swasta.

Peruntukan kali ini membuktikan kerajaan komited dalam memberi penjagaan kesihatan kepada rakyat dan meningkatkan kemudahan kesihatan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin pula berkata kementeriannya akan memastikan setiap projek pembangunan perumahan dijalankan secara berterusan dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya ia meliputi Sabah dan Sarawak di mana kerajaan akan membangunkan Projek Perumahan Rakyat bagi menempatkan semula penduduk setinggan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim pula berpendapat bajet kali ini yang merupakan tahun pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-10, dapat mencapai tahap yang lebih baik dalam semua sektor ekonomi. Mengenai projek mercu tanda Warisan Merdeka menjelang 2020 yang pembinaannya digariskan dalam bajet kali ini, beliau berkata ia berupaya menarik pelabur luar untuk melabur di sini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata Majlis Konsultasi Gaji Negara akan bertindak untuk mengenal pasti kaedah terbaik dalam pelaksanaan gaji minimum.

"Ini akan mempunyai wakil dari semua pihak dari kalangan pekerja, majikan, kerajaan dan universiti," katanya.

Mengenai Program Latihan 1Malaysia, beliau berkata ia akan memberi latihan kepada pekerja bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan Bajet 2011 sebagai komprehensif, inklusif dan mampu memberi nilai tambah terutama dalam pembangunan modal insan.

"Ini memang satu strategi yang bernas, berfaedah dan mempunyai fokus yang betul. Cabarannya adalah dalam perlaksanaan. Tapi, dengan program transformasi yang telah berjalan selama sembilan bulan ini, saya yakin pelaksanaan dan penyampaian akan jadi lebih berkesan dan cekap," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain