suria

Mohd Saiful Dakwa Diliwat Individu Berprofil Tinggi Tanpa Kondom

KUALA LUMPUR: Ahli patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa semasa merekodkan sejarah perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun, 2008, Mohd Saiful menyatakan bahawa dia diliwat oleh seorang individu berprofil tinggi sejak dua bulan sebelum itu, tanpa menggunakan kondom.

Beliau berkata Mohd Saiful memaklumkan kepadanya bahawa individu berkenaan tidak menggunakan kekerasan terhadapnya dan bahan pelincir digunakan dalam perbuatan itu, dengan episod terakhir berlaku dua hari sebelum dia pergi ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan semasa pemeriksaan utama bilakah Mohd Saiful memberitahunya tentang perkara itu, Dr Siew berkata beliau mendapat maklumat itu daripada Mohd Saiful semasa merekodkan sejarah perubatannya. "Selepas Mohd Saiful memberitahu dia diliwat, saya bertanya kepadanya sama ada kondom telah digunakan, Mohd Saiful menjawab tidak, tapi katanya bahan pelincir telah digunakan," kata Dr Siew pada perbicaraan kes liwat Pemimpin Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Dr Siew, yang berpengalaman mengendalikan antara 200 dan 300 kes forensik dan menyelia 20 kes liwat, berkata selepas beliau menemubual Mohd Saiful, pakar bedah umum Dr Mohd Razali Ibrahim dan pakar penjagaan kecemasan HKL, Dr Khairul Nizam Hassan pula melakukan pemeriksaan.

Katanya Dr Khairul Nizam membuat pemeriksaan terhadap tubuh Mohd Saiful, manakala Dr Mohd Razali memeriksa bahagian sulit pesakit itu.

Beliau berkata para doktor berkenaan mendapat keizinan Mohd Saiful sebelum melakukan pemeriksaan perubatan terhadap bahagian sulit mangsa dan merakam gambarnya. Menjawab soalan Nordin sama ada pemeriksaan itu dibuat secara serentak, beliau berkata ia dibuat satu demi satu oleh dua doktor berkenaan.

Dr Siew berkata peranan beliau ialah mengendalikan spesimen yang diambil daripada Mohd Saiful.

Dr Siew, 40, saksi ketiga pendakwa, berkata laporan perubatan yang disediakan oleh beliau serta Dr Razali dan Dr Khairul Nizam, selepas membuat pemeriksaan terhadap Mohd Saiful, adalah tidak konklusif dan komprehensif kerana ia dibuat tanpa laporan kimia.

Doktor itu berkata beliau membuat keputusan secara konklusif bahawa berdasarkan keputusan empat sapuan yang diambil dari bahagian dubur Mohd Saiful semasa pemeriksaan perubatan pada 28 Jun, 2008, beliau mengesahkan bahawa telah berlaku penetrasi alat kelamin lelaki.

Katanya laporan yang disediakan oleh beliau, Dr Mohd Razali dan Dr Khairul Nizam pada 11 Julai, 2008, dibuat tanpa laporan kimia mengenai sapuan berkenaan dan lokasi ia diambil.

"Berdasarkan laporan itu dan mengetahui lokasi tempat sampel itu diambil, sekarang saya boleh mengesahkan bahawa telah berlaku penetrasi alat kelamin lelaki," kata Dr Siew bagi menjawab pertanyaan Nordin.

Menjawab soalan sama ada liwat boleh berlaku tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan pada kawasan dubur mangsa, Dr Siew berkata perkara itu boleh berlaku sekiranya bahan pelincir digunakan atau kejadian itu lewat dilaporkan kepada doktor.

"Ini berkemungkinan terjadi apabila perbuatan itu tidak melibatkan kekerasan atau sanggahan," kata Dr Siew.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Dr Mohd Razali mengumpul sapuan yang ditanda sebagai B5, B7, B8 dan B9 yang diserahkan kepadanya dan menyita sampel berkenaan dalam botol yang distril sebelum melabel dan menyerahkannya kepada pegawai penyiasat kes berkenaan DSP Juge Blacious Pereira pada kira-kira pukul 12.35 tengah hari keesokan harinya (29 Jun, 2008).

Dalam keterangannya, saksi keempat pendakwa, Dr Khairul Nizam memberitahu mahkamah bahawa beliau telah membuat pemeriksaan fizikal terhadap Mohd Saiful, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Katanya dalam pemeriksan itu, beliau mendapati terdapat tiga tanda pada bahagian kiri dan kanan bahagian atas belakang Mohd Saiful dan satu tanda pada bahagian tengah di kanan belakang mangsa, dan kemudian mengukur tanda-tanda itu.

Dr Khairul Nizam juga berkata penetrasi alat kelamin lelaki telah berlaku berikutan penemuan air mani lelaki pada bahagian 'periannal, low rectal dan high rectal' Mohd Saiful.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar menangguhkan pemeriksaan balasnya terhadap tiga doktor itu kepada 25 Oktober.

Terdahulu, Karpal memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mengusulkan prosiding menghina terhadap individu tertentu berhubung kenyataan yang dibuat kepada media.

Katanya kenyataan itu tidak boleh dibincangkan kerana ia boleh mewujudkan prejudis terhadap perbicaraan kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah meluluskan permohonan Karpal untuk memfailkan permohonan rasmi bagi mendapatkan prosiding menghina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain