suria

MIMOS Sambut Baik Peruntukan RM411 Juta Bagi R&D, Aktiviti Pengkomersilan

KUALA LUMPUR: MIMOS Bhd menyambut baik peruntukan RM411 juta dalam Bajet 2011 bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan aktiviti pengkomersilan tahun depan. Dalam satu kenyataan residen merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Wahab Abdullah berkata peruntukan itu penting bagi mempercepatkan proses pengkomersilan teknologi yang dibangun tempatan dan menyediakan ekosistem inovasi bagi industri.

"Ini juga sejajar dengan misi MIMOS merintis teknologi inovatif ke arah meningkatkan industri tempatan yang bersaing di peringkat global bagi menggerakkan rantaian nilai industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Malaysia," katanya.

Pengarah Urusan Dell Global Business Centre Sdn Bhd, Bobbi Dangerfield berkata pemangkin bagi negara maju adalah memiliki kumpulan pekerja yang mahir dan berpengetahuan.

"Perbadanan Tenaga Kerja, yang akan ditubuhkan pada 2011 dan disasarkan menarik modal insan, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, sudah pastinya akan membantu negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.

Pengarah Urusan IBM Malaysia, Ramanathan Sathiamuthy berkata sistem pembangunan tenaga kerja dan kepakaran yang distruktur dengan baik adalah penting bagi membolehkan Malaysia mencapai sasarannya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. "Tenaga kerja masa depan perlu berasaskan pengetahuan dan berorientasikan perkhidmatan dan sejajar dengan Program Transformasi Negara," katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Negara Malaysia bagi Red Hat Asia-Pacific, Basheer Ali Majeed berkata syarikat itu menyambut baik peruntukan RM119 juta bagi meningkatkan potensi industri ICT menerusi Program Kandungan Kreatif MY dan pengecualian cukai jualan dan duti import ke atas kelengkapan jalur lebar bagi tempoh dua tahun lagi.

"Kami percaya perusahaan akan digalakkan untuk mengguna pakai penyelesaian baharu yang inovatif seperti standard terbuka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain