suria

Lebih Ramai Pembayar Cukai Mampu Peroleh Pelepasan, Kata Hasmah

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pembayar cukai mampu memperoleh pelepasan daripada perluasan kelayakan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam Bajet 2011, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Hasmah Abdullah.

Memberi contoh pelepasan cukai sebanyak RM5,000 untuk perubatan ibu bapa katanya, pelepasan itu diperluaskan kepada perbelanjaan untuk kemudahan khas seperti lampin pakai buang dewasa dan tidak terhad kepada perubatan sahaja.

"Perluasan kelayakan ini diharap dapat membantu mengurangkan beban pembayar cukai individu yang pada ketika ini menyumbangkan kira-kira 20 peratus daripada kutipan cukai LHDN," kata beliau kepada pemberita pada sidang media sempena lawatan beliau ke Pusat Operasi Talian Khas Bajet 2011 di sini, Jumaat.

Beliau berkata walaupun bilangan pembayar cukai yang menuntut pelepasan akan bertambah, tetapi ia tidak akan memberi kesan ketara terhadap kutipan cukai kerana tiada pelepasan baru diperkenalkan, hanya lanjutan pelepasan dan kelayakan pelepasan diperluaskan.

Beberapa pengecualian cukai turut diperluaskan seperti pengecualian duti eksais ke atas kereta nasional untuk orang kurang upaya (OKU) yang diperluaskan kepada OKU yang mempunyai ketidakupayaan pendengaran dan pertuturan, katanya.

Semasa ditanya mengenai sambutan terhadap Pusat Operasi Talian Khas Bajet 2011, beliau berkata, sambutan yang diterima adalah menggalakkan dengan purata 20 panggilan sejam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain