suria

Kes Demam, Kematian Akibat Denggi Meningkat Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 38,330 kes demam denggi dilaporkan dari Januari hingga 9 Oktober ini, meningkat sebanyak 18 peratus atau 5,770 kes berbanding 32,560 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kes kematian akibat demam denggi turut meningkat 62 peratus atau 45 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 117 berbanding 72 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Untuk tempoh 3 hingga 9 Oktober lepas, sejumlah 911 kes demam denggi dilaporkan yang menunjukkan penurunan dua kes berbanding 913 kes pada minggu sebelumnya.

"Jumlah ini adalah 359 atau 65 peratus lebih tinggi berbanding jumlah kes yang dilaporkan pada minggu sama tahun lepas iaitu 552 kes," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata enam negeri yang menunjukkan peningkatan kes itu minggu lepas ialah Terengganu dengan 35 kes, Johor (33), Sabah (11), Melaka (tiga) manakala Kedah dan Sarawak masing-masing dua kes. Tiada kematian dilaporkan.

Dr Mohd Ismail berkata sejumlah 228 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 35 lokaliti 'panas' dikenalpasti minggu lepas yang melibatkan 480 kes demam denggi.

"Lokaliti 'hotspots' ini juga masih melaporkan 99 kes baru pada minggu itu dan 20 atau 57 peratus daripada 35 lokaliti ini masih mempunyai pembiakan Aedes melebihi kadar sensitif," katanya.

Beliau berkata hanya tujuh atau 20 peratus daripada 35 lokaliti 'panas' itu menjalankan aktiviti gotong royong dan hasil pemantauan mendapati 89 peratus daripada bekas pembiakan Aedes terdapat di luar premis.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga kini, sebanyak 24 daripada 34 daerah yang mengalami wabak denggi telah mengaktifkan Jawatankuasa Wabak Denggi.

Sehingga Ogos lepas, sejumlah 10,476 Perintah Notis dan 16,427 kompaun berjumlah RM3,302,049 telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, katanya.

Beliau berkata sejumlah 930 kes telah dibawa ke mahkamah dan 301 kes dikenakan denda.

Dr Mohd Ismail berkata dalam mempertingkatkan lagi penyampaian maklumat dan mesej bahaya demam denggi, pihaknya melancarkan Kempen Media Pencegahan Denggi mulai 11 hingga 17 Oktober ini.

Sebanyak 185 iklan televisyen akan ditayangkan di semua stesen televisyen, 108 iklan di radio serta 13 sisipan iklan dalam akhbar, katanya.

Bagi kes Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata satu kes dilaporkan di Pulau Pinang dalam tempoh 3 hingga 9 Oktober. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain