suria

Enam Maut Kereta Rempuh Pokok di Kampar

KAMPAR: Enam orang, iaitu empat lelaki dan dua perempuan, terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok dan terbakar di tepi jalan di Km 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini awal, pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu ialah pemandu kereta Lim Kar Wai, 20, Yap Heng Loong, 21, Soo Poi Wan, 18 (wanita), Wong Chee Keong, 23, dan Tang Wai Leong, 18.

Seorang lagi mangsa wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya, meninggal dunia di Hospital Kampar pada pukul 4.50 pagi, katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata lima mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan mengalami kebakaran 80 peratus di badan.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Abdul Aziz berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Lim dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampar dikatakan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebatang pokok di kanan jalan dan terbakar.

Akibat kemalangan itu, kereta jenis Honda City tersebut musnah terbakar dan pasukan Bomba dan Penyelamat dari sini dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan kesemua mangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain