suria

Bajet Berdasarkan Kehendak Rakyat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 sebagai bajet istimewa kerana ia berdasarkan kehendak rakyat dan diyakini mampu memberi faedah maksimum kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Bercakap kepada pemberita selepas selesainya pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin berkata bajet tahun ini juga memberi harapan yang cerah ke arah transformasi masa depan negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Secara ringkas beberapa pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, bukan sahaja melibatkan masyarakat di bandar tetapi juga di luar bandar, mencakupi sektor-sektor utama, dan kita rasa yakin ini belanjawan rakyat dan faedah maksimum akan diperolehi dengan pelaksanaan yang akan dibuat secara lebih efisien oleh jabatan dan agensi kerajaan.

"Bagi saya ini juga adalah satu petanda bahawa pimpinan Barisan Nasional (BN) prihatan terhadap kehendak semua peringkat masyarakat...ini sesuatu yang kita amat sanjung dan percaya dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan Malaysia mampu menjadi negara maju menjelang 2020," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau yakin banyak pihak yang akan berpuas hati dengan Bajet 2011 kerana ia juga digubal berdasarkan banyak maklum balas yang diambil perhatian oleh Perdana Menteri sendiri dan telah memberi respons cukup memberangsangkan terhadap saranan dan cadangan yang dikemukakan.

Malahan, katanya, strategi empat perkara, iaitu "Mendaya Kembali Pelaburan Swasta", "Membangunkan Modal Insan", "Mensejahterakan Hidup Rakyat", dan "Memperkukuhkan Penyampaian Perkhidmatan Awam" telah merangkumi pelbagai sektor utama yang telah diberi perhatian oleh perdana menteri.

"Oleh itu, saya yakin laluan negara untuk menuju negara berpendapatan tinggi kini lebih jelas...ini asas kukuh yang dibangunkan kerajaan dalam melaksanakan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menafikan Bajet 2011 sebagai Bajet Pilihan Raya seperti mana dakwaan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang.

"Pengumuman (Bajet 2011) ini bukan untuk tujuan lain kecuali untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih selesa...bukan sebab pilihan raya," katanya.

Mengulas bajet untuk sektor pendidikan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata suntikan peruntukan yang lebih besar kepada Kementerian Pelajaran tahun ini iaitu RM29.3 bilion berbanding RM25.5 bilion, iaitu kenaikan 14.9 peratus berbanding tahun lepas, menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan pembangunan modal insan.

Artikel Sebelum