suria

Bajet 2011 Utama dan Martabatkan Rakyat - Kong

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 ialah bajet yang mengutamakan rakyat dengan memartabatkan kehidupan rakyat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha. Beliau berkata cadangan supaya tidak menaikkan kadar tol Plus Expressways Berhad untuk lima tahun akan datang menunjukkan keprihatinan kerajaan ke atas kos pengangkutan yang ditanggung rakyat.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 di Parlimen di sini, Jumaat bahawa kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressways Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataannya di sini, Kong berkata cadangan kerajaan untuk menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam adalah satu inisiatif untuk meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan.

"Apabila disusun semula menjadi Lembaga, ini akan memantapkan lagi peranannya sebagai sebuah badan kawal selia industri penerbangan awam negara.

"Ini juga sejajar dengan trend antarabangsa untuk memperluaskan lagi peranan dan keupayaan badan kawal selia industri penerbangan. Harapan saya apabila Lembaga ini ditubuhkan nanti akan dapat membantu industri penerbangan untuk menjadi lebih tersusun dan teratur," katanya.

Sementara itu, Kong berkata pelaksanaan projek "Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) di Greater KL juga dapat membantu mencapai objektif NKRA pengangkutan bandar (UPT NKRA) sedia ada.

"Kementerian akan bekerjasama rapat dengan pihak swasta yang memajukan pembangunan ini untuk menjayakan kadar pertambahan kepenggunaan pengangkutan awam sebanyak sekurangnya 40 peratus menjelang tahun 2020," katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM212 billion untuk Bajet 2011 dengan RM49.2 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain