suria

BAJET 2011: RM6.9 Bilion Untuk Infrastruktur Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan RM6.9 bilion untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak sebanyak RM2.1 bilion disediakan manakala RM696 juta pula diperuntukkan bagi Semenanjung Malaysia.

"Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan untuk menyediakan bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah, RM1.2 bilion di Sarawak dan RM556 juta bagi Semenanjung," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata RM300 juta pula akan dibelanja untuk melaksanakan program bantuan rumah bagi golongan miskin dan miskin tegar yang melibatkan pembinaan dan baik pulih 12,000 unit rumah di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan penduduk kawasan terpencil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mendaftar kerakyatan.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi meneruskan Program Pengedaran Barang Perlu seperti beras, minyak masak, gula, tepung, gas, petrol dan diesel, pada tahun depan.

Kini, masalah harga barangan lebih tinggi yang dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan tertentu di Semenanjung akibat kos pengangkutan, menjadi perhatian kerajaan.

"Bagi menyeragamkan harga barangan pada kadar yang hampir sama dengan kawasan lain, kerajaan telah memperkenalkan program tersebut dengan peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun ini," katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan mewujudkan portal interaktif "1Malaysia Pengguna Bijak" bagi memudahkan rakyat mengikuti perkembangan harga terkini barangan, meliputi hampir 7,000 premis perniagaan seluruh negara.

"Melalui portal ini, pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan sesuatu barangan pada harga yang kompetitif. Pengguna juga boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas untuk mengetahui harga terkini barangan," katanya.

Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, kerajaan memperuntukkan RM974 juta sebagai pemberian subsidi harga padi, baja dan benih padi serta RM230 juta untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi.

"Kerajaan juga menyediakan sejumlah RM170 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan nelayan serta pemilik dan pekerja bot untuk meningkatkan hasil tangkapan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain