suria

Bajet 2011 Petanda PRU ke-13 Semakin Hampir?

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) menjangkakan Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan dalam masa terdekat berdasarkan pembentangan bajet 2011 yang memberi petunjuk positif ke arah itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun pembentangan bajet kali ini bersifat mesra rakyat namun keprihatinan tersebut menjurus kepada keperluan pilihan raya.

"Nampaknya dalam prihatin kepada rakyat itu hanya menjelang pilihan raya, bajet ini nampak menjurus ke arah itu, ada beberapa kemudahan tambahan kepada rakyat diberikan menjelang pilihan raya.

"Masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran tidak disebut... yang disebut projek-projek besar, projek mega...saya akan jawab lebih terperinci pada hari Isnin ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembentangan Bajet 2011 di Lobi Parlimen, pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pula berkata, belanjawan ini petanda jelas pilihan raya akan berlaku dalam masa enam bulan ke atas dan mungkin juga akan berlaku lebih awal dari dijangkakan.

"Pada jangkaan kami akan berlaku pada bulan enam ke atas tetapi apa yang dibentangkan perdana menteri ini menunjukkan mungkin PRU lebih awal dari itu.

“Bagaimanapun kita hargai insentif-insentif yang diberikan kepada rakyat," katanya.

Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw pula berkata, antara isyarat pilihan raya umum tersebut adalah seperti langkah kerajaan untuk cuba memujuk rakyat dengan mengumumkan tol PLUS tidak akan naik untuk tempoh lima tahun lagi dan juga pinjaman perumahan secara penuh.

Bagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pula, dakwaan dari pembangkang ini merupakan satu alasan yang tidak relevan kerana kerajaan tidak mengadakan pembangunan hanya disebabkan keperluan mengadakan pilihan raya sahaja.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pihak pembangkang berkata sedemikian kerana mereka tidak mempunyai lagi bukti kukuh untuk mengatakan bahawa bajet kali ini tidak bersifat mesra rakyat.

"Kita BN tidak buat apa-apa demi pilihan raya, kalau macam itu kita hanya tunggu sebelum pilihan raya lah baru kita buat macam-macam program pembangunan.

"Tetapi kita buat apa yang kita rasa baik untuk kesejahteraan rakyat serta menjana pertumbuhan di setiap waktu dan setiap masa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain