suria

BAJET 2011: Penglibatan Wanita Diperluas Dalam Ekonomi

KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita akan diperluaskan dalam ekonomi bagi mengiktiraf peranan golongan itu sebagai nadi keluarga dan pembangunan negara seiring perkembangan kemajuan.

Dalam pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan akan dipertingkatkan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Peruntukan itu bagi pelaksanaan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal serta mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita sempena Hari Wanita mulai tahun depan.

Najib berkata, kerajaan menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa dengan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober 2010.

“Saya menyeru pihak swasta dapat mengambil pekerja separuh masa wanita, terutama mereka yang telah berumah tangga.

“Kerajaan juga melaksanakan program perintis ‘Small Office Home Office’ untuk wanita kurang upaya selama tiga bulan bagi melatih wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pelbagai bidang kemahiran,” katanya di Parlimen di sini.

Selain itu, dari masa ke semasa, kerajaan merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Najib berkata, wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam pada akhir 2009 telah mencapai tahap 30.5 peratus.

“Justeru, saya ingin menyeru pihak swasta agar memberi peluang kepada lebih ramai wanita menjawat jawatan di peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain